Sambut Aidilfitri sambil ‘ngoca’ ikan

Sambut Aidilfitri sambil ‘ngoca’ ikan

NGWE Hee Sem (dua dari kanan) memegang ikan keli seberat lima kg yang berjaya ditangkap dengan tangan di Kampung Solok Batu Dinding, Kuala Sungga, Melaka. - UTUSAN/AMRAN MULUP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR GAJAH: Kebiasaannya sambutan rumah terbuka Aidilfitri diadakan dengan menyediakan pelbagai jenis hidangan seperti ketupat, rendang, kuih raya dan sebagainya termasuk persembahan hiburan.

Namun bagi penduduk di Kuala Sungga, Tebong dekat sini, mereka memecah amalan biasa dengan membuat kelainan menganjurkan rumah terbuka dengan program Jom Ngoca Ikan di sebuah parit di Kampung Solok Batu Dinding, semalam.

Lebih 100 penduduk tidak melepaskan peluang memeriahkan suasana menyertai aktiviti mengoca ikan termasuk di Lubok Tok Salim.

Seawal pukul 8.00 pagi, penduduk termasuk kanak-kanak mula berkumpul untuk menyertai aktiviti yang kali pertama dianjurkan di kampung berkenaan. Mereka yang hadir terdiri daripada pelbagai kaum terutama India, Cina dan masyarakat orang asli.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Machap Jaya, Ngwe Hee Sem berkata, beliau mengucapkan ribuan terima kasih atas usaha Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) dan Kawasan Rukun Tetangga (KRT) Kuala Sungga menganjurkan program yang terbukti dapat menyatu-padukan pelbagai lapisan masyarakat di Melaka.

“Ini satu keunikan menganjurkan rumah terbuka dan program Jom Ngoca Ikan di sebuah parit yang menyaksikan ramai penduduk turun menangkap pelbagai jenis ikan air tawar. Saya tidak sangka program ini mendapat sambutan menggalakkan daripada seluruh penduduk setempat termasuk anak-anak mereka yang tinggal di luar negeri ini yang sanggup balik.

“Saya berpendapat program ini perlu menjadi acara tahunan kerana ada kelainan, ia dapat menyatu-padukan seluruh penduduk,” katanya ketika ditemui pemberita.

Tambah Hee Sem yang juga Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Sumber Manusia dan Perpaduan negeri, program hampir tiga jam itu menyaksikan peserta berjaya menangkap pelbagai jenis ikan seperti keli, haruan, sepat dan belida dengan keseluruhan berat 30 kilogram (kg).

Lebih menarik, Hee Sem turut dinobatkan sebagai juara Jom Ngoca Ikan selepas berjaya menangkap keli seberat lima kg manakala naib johan menjadi milik Nur Kholiq Ahmad Tohir, 31, dan tempat ketiga dimenangi Shameer Anuar Redzuan, 38.

Kesemua ikan yang ditangkap kemudiannya dibakar dan dinikmati oleh penduduk sewaktu jamuan makan tengah hari. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya