KUALA LUMPUR: Penganjur IJN Ride 4 Your Heart sentiasa memantau situasi semasa cuaca panas yang melanda negara ketika ini menjelang aktiviti berbasikal itu yang akan berlangsung pada 27 Mei ini di Kuala Nerus, Terengganu.
Bagi memastikan sebarang insiden tidak diingini pihak penganjur akan mengambil langkah berjaga-jaga dan memperbanyakkan stesen minuman sepanjang perlumbaan.
Pengarah Sukan Kardiovaskular dan Kecergasan/Pakar Perunding Kanan Bedah Institut Jantung Negara (IJN), Datuk Seri Dr Jeffrey Jeswant Dillon berkata, pihaknya juga menasihatkan kepada peserta yang akan mengambil bahagian agar melakukan persediaan dari sudut fizikal dan mental kerana situasi cuaca ketika ini sememangnya agak mencabar.
“Buat masa ini, aktiviti luar masih boleh dilangsungkan. Jadi kami menasihatkan kepada setiap peserta supaya banyak minum air dan kami juga akan menyediakan tambahan stesen untuk mengambil air yang mencukupi.
“Kami juga menggesa semua peserta supaya memantau had badan mereka sendiri. Ketika kita bersemangat untuk mengambil bahagian, ia juga boleh berisiko untuk mengakibatkan kecederaan. Jadi adalah lebih baik untuk kita dapat memahami kemampuan diri sendiri.
“Memandangkan laluan untuk aktiviti berbasikal ini membabitkan sepanjang tepi pantai, peserta juga harus sedar dengan situasi angin laut yang kuat di kawasan yang mereka lalui nanti,” katanya pada sidang media IJN Ride 4 Your Heart, semalam.
Program itu setakat ini telah menerima penyertaan seramai 600 peserta dan Jeffrey menjangkakan jumlah berkenaan akan bertambah menjelang hari perlumbaan berlangsung nanti.
Jelasnya, Terengganu menjadi pilihan penganjuran edisi ketiga IJN Ride 4 Your Heart itu kerana pihaknya mahu memberi pengalaman baharu kepada setiap peserta selepas dua edis sebelum ini diadakan di Lembah Klang.
“Dengan 2023 adalah tahun melawat Terengganu, ia juga adalah peluang terbaik untuk menganjurkan aktiviti berbasikal ini,” katanya.
Penganjuran kali ini membabitkan tiga kategori iaitu 30 kilometer (km) Fun Ride serta 88km dan 120km di mana kedua-dua kategori itu formatnya adalah perlumbaan.
Dua edisi IJN Ride 4 Your Heart sebelum ini iaitu pada 2016 serta 2017 berlangsung di Lembah Klang iaitu di Universiti Nottingham, Semenyih. Untuk maklumat lanjut boleh layari laman weh www.gosportz.my. -UTUSAN