SERAMAI 350 terdiri daripada saudara baharu menyertai majlis tadarus al-Quran sempena Nuzul Quran dan pengagihan wang zakat kepada asnaf mualaf dan fakir miskin bertempat di surau Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (Perkim) di Jalan Sultan Azlan Shah, Kuala Lumpur baru-baru ini.
Setiausaha Agung Kehormat Perkim, Tan Sri Dr. Mohd. Yusof Noor berkata, mulai tahun ini, mana-mana pihak yang mengucap dua kalimah syahadah di Perkim akan dihadiahkan senaskhah al-Quran yang dicetak khas untuk saudara baharu.
“Kita bersyukur kepada Allah SWT kerana menjadi satu umat yang diikat oleh al-Quran untuk bertemu dan bersilaturahim,” jelasnya.
Buat julung kalinya, Perkim menerbitkan al-Quran edisi khas bersempena Hari Perkim ke-63 tahun pada 16 Februari lalu dilancarkan pada Persidangan Dakwah Kebangsaan bertempat Masjid Wilayah Persekutuan, Kuala Lumpur.
Al-Quran itu merupakan cetakan khas untuk mualaf diterbitkan Perkim diiringi terjemahan Bahasa Inggeris, Bahasa Mandarin dan Bahasa Melayu. – UTUSAN