BEBERAPA pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang diketuai Kelab D’Kluang menyantuni empat agensi kerajaan yang beroperasi 24 jam dalam program singgah sahur, baru-baru ini.
Pengerusi Kelab D’Kluang, Md. Norhalim Md. Amin berkata, program yang dianjur bersama Pusat Khidmat Dewan Undangan Negeri (DUN) Mahkota itu sebagai tanda terima kasih rakyat di bandar tersebut terhadap perkhidmatan yang diberikan.
Empat agensi itu ialah Hospital Enche Besar Hajjah Khalsom (HEBHK); Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Kluang; Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Kluang serta Balai Bomba dan Penyelamat Kluang.
Selain Kelab D’Kluang, turut terlibat ialah Persekutuan Melayu Kluang; Persatuan Belia Bandar Bersatu Kluang; Persatuan Sepak Takraw Daerah Kluang; Persatuan Kebajikan Kasih Sayang Kluang serta Permai Care.
Turut serta Persatuan Kebajikan Amal Ikatan Kasih Daerah Kluang (BAIK); Kelab Kebajikan Anak Kluang (Kluang Runner); Persatuan Kebajikan Aku Budak Kluang (ABK) dan Kelab Belia Mentari Dinamik. – UTUSAN