ARAU: Seramai 30 mahasiswa Universiti Utara Malaysia (UUM) dan belia bergotong-royong dengan semangat kerjasama yang tinggi dalam menyediakan lemang menjelang Aidilfitri di Kampung Lubok Merbau, Pedu, semalam.
Aktiviti tersebut yang dilaksanakan di rumah Ketua Pemuda UMNO cawangan di situ, Faizal Mustaffa bermula petang sehingga lewat malam bagi menyiapkan lemang berkenaan.
Program tersebut dianjurkan oleh Pemuda UMNO dan Ketua UMNO cawangan Kampung Lubok Merbau Pedu.
Pengerusi Penggerak Negeri Kedah, Dr. Kamarul Azman Khamis berkata, aktiviti membakar lemang itu secara tidak langsung memupuk semangat kekeluargaan dan bekerjasama.
Katanya, proses tersebut juga mengajar erti kesabaran dan kerjasama dalam satu pasukan.
“Saya cukup teruja melihat kerjasama dalam kalangan mahasiswa, belia dan masyarakat setempat menyediakan lemang berkenaan.
“Saya berharap aktiviti seperti itu dapat diteruskan dari masa ke semasa bagi menarik lebih ramai anak muda bersama-sama dalam aktiviti yang memerlukan semangat bergotong royong ini,” katanya.- UTUSAN