JOHOR BAHRU: Kerajaan negeri berterima kasih dan amat menghargai komitmen seramai 1,880 doktor kontrak gred UD41 dan gred UD43 yang bertugas di 24 fasiliti kesihatan di negeri ini kerana tidak menyertai mogok tiga hari, yang dilaporkan diadakan bermula hari ini.
Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Perpaduan negeri, Ling Tian Soon berkata, tinjau pihaknya mendapati perkhidmatan kesihatan awam di negeri ini berjalan lancar seperti biasa dan tidak berlaku kesesakan luar biasa di fasiliti kesihatan kerajaan serta tiada doktor kontrak yang tidak hadir bertugas.
“Terdapat seramai 1,880 pegawai ñerubatan lantikan kontrak gred UD41 dan gred UD43 yang bertugas di 24 fasiliti kesihatan negeri Johor, iaitu melibatkan 113 pegawai perubatan di klinik kesihatan dan 1,767 orang di 12 hospital negeri ini.
“Pemantauan fasiliti kesihatan kerajaan hari ini mendapati perkhidmatan merawat pesakit di klinik kesihatan dan hospital serta semua prosedur efektif yang dijadualkan berjalan lancar seperti biasa.
“Pemantauan juga mendapati tiada terjadinya perarakan kecil atau demonstrasi awam berlaku di mana-mana fasiliti kesihatan kerajaan,” katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.
Sehubungan itu, Tian Soon memberitahu, Ketua Pusat Tanggungjawab akan meneruskan pemantauan bagi memastikan penyampaian perkhidmatan kesihatan kepada pesakit sama ada di klinik atau hospital berjalan lancar.
“Segala permasalahan pasti ada solusinya, tetapi mengadakan mogok
bukanlah solusi terbaik. Saya berterima kasih kepada doktor-doktor kontrak di negeri ini kerana tidak melibatkan diri dalam mogok tiga hari dan terus menawarkan khidmat terbaik untuk semua pesakit,” katanya.
Dalam pada itu, beliau turut memohon supaya Kabinet mewujudkan Jawatankuasa Peringkat Tertinggi menggabungkan beberapa kementerian dan agensi termasuk bagi menangani isu doktor kontrak dengan segera.
“Walaupun isu doktor kontrak bukan di bawah bidang kuasa kerajaan negeri, sebagai wakil kerajaan saya terbuka mendengar rintihan mereka supaya dapat sampaikan hasrat kepada kementerian.
“Kita sama-sama boleh berusaha bagi menyelesaikan isu dan tuntutan dibuat doktor kontrak ini dengan sebaik-baiknya,” katanya. – UTUSAN