PENGEDAR rasmi aksesori dan alat ganti motosikal berkualiti tinggi dari Jerman, Touratech Malaysia melancarkan satu program pakej pelancongan motosikal sebagai salah satu daripada aktiviti tahunan kembara motosikal.
Pada tahun ini, Touratech Malaysia bersama Route 77 dan West Nusa Adventure Tour menjalin kerjasama untuk menawarkan beberapa pakej pelancongan ke Pulau Sumbawa dan Lombok bagi menjayakan acara kejohanan motocross dunia, Motocross Grand Prix atau MXGP edisi 2023.
Pelbagai pakej ditawarkan untuk Motocross Grand Prix yang akan diadakan di dua lokasi di Indonesia iaitu di Lombok dan Sumbawa dengan bermula pada harga RM3,750 untuk Lombok dan RM6,875 bagi Sumbawa, tidak termasuk tiket penerbangan.
Menurut Pengarah Touratech Malaysia, Larry Yap Eng Keong, program itu bertujuan membuka ruang dan peluang kepada peminat jentera dua roda terutamanya dalam kategori motocross untuk merasai pengalaman melihat perlumbaan motocross bertaraf dunia yang penuh aksi dan debaran. – UTUSAN