KELAB Sukan, Rekreasi dan Kebajikan Rela Negeri Kedah dengan kerjasama Uncle Kentang Volunteer Kedah (UKVK) mengadakan misi bantuan banjir di daerah Tangkak, Johor baru-baru ini.
Pengerusi kelab, Abdul Aziz Abdullah berkata, kira-kira 30 orang, termasuk pegawai dan anggota Rela Kedah menyertai misi bantuan itu.
Katanya, peserta misi melaksanakan kerja gotong-royong membersih kawasan di beberapa lokasi termasuk rumah anggota Rela dalam kejadian banjir tersebut.
“Rela Kedah juga menghulurkan bantuan bakul makanan kepada mangsa banjir di Kampung Bunga Raya, Bukit Gambir, Kampung Parit Pulai, Kampung Serom 3 Panggong, Kampung Pengkalan Besar dan Kampung Sri Maamor. Usaha dilakukan ini berjaya mengeratkan hubungan baik antara petugas Rela negeri Kedah dan petugas Rela negeri Johor,” katanya.
Turut hadir Pengarah Rela Negeri Kedah, Ahmad Muazzam Shah Mohd Salleh dan Pengarah Rela Negeri Johor, Mohd Shah Rizal Zainal. – UTUSAN