GABUNGAN Kawasan Rukun Tetangga (KRT) Taman Lestari Putra dan Kota Perdana, Seri Kembangan, Selangor menganjurkan Program Gerak Rahmah Jom Ronda SRS 2023, baru- baru ini.
Ia merupakan salah satu program di bawah Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional yang turut melibatkan pasukan Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Serdang.
Program rondaan bersama di kawasan Taman Lestari Putra dan Kota Perdana melibatkan 10 anggota dari IPD berkenaan dan 60 anggota Skim Rondaan Sukarelawan (SRS) serta sekumpulan penduduk bertujuan membentuk jaringan kerjasama kukuh bagi memastikan hal berkaitan keselamatan penduduk setempat sentiasa diberi perhatian.
Menurut Setiausaha KRT LEP 4, Izuddin Nazir, program itu antara lain menyuntik kesedaran kepada penduduk bahawa semua pihak harus bekerjasama bagi memelihara keharmonian dan keamanan kejiranan. – UTUSAN