PETALING JAYA: Seramai 116 pemain muda terpilih menyertai program MILO XFAM Ultimate Experience bagi mendalami kemahiran bermain sukan bola sepak di sini, baru-baru ini.
Mereka yang terpilih terdiri daripada pemain yang mempamerkan potensi sepanjang kejohanan liga komuniti dengan kerjasama Milo.
Program Milo X FAM Ultimate Experience bertujuan memberikan pendedahan yang lebih menyeluruh kepada pemain muda bagi mengembangkan lagi minat mereka terhadap sukan bola sepak.
Pengurus Pemasaran MILO Malaysia, Kerwin Lim berkata, pihaknya sentiasa percaya dan yakin sukan berperanan sebagai guru terbaik yang boleh memupuk kesungguhan serta membentuk keperibadian individu untuk berjaya dalam apa jua bidang sukan diceburi.
“Kerjasama yang sekian lama dijalin bersama FAM akan meneruskan usaha kami menyediakan pentas kompetitif dan platform terbaik kepada pemain muda untuk bersinar di samping bekerjasama melahirkan lebih ramai lagi perintis masa depan bola sepak negara,” katanya.
Turut hadir pada program itu adalah Ketua Unit Pembangunan Akar Umbi FAM, Cameron Ng yang nyata kagum dengan kemahiran dan teknik yang dimiliki pemain ketika menjalani kem latihan sepanjang program berlangsung.
Beliau yang juga ketua jurulatih skuad wanita kebangsaan B-20 tahun turut menzahirkan penghargaan kepada Milo Malaysia di atas komitmen mereka untuk bersama-sama membangunkan ekosistem akar umbi bola sepak di negara ini.
“Mereka yang terbabit dalam program Milo X FAM Ultimate Experience nampaknya memiliki kemahiran yang tinggi dan saya percaya mereka (pemain muda) berada di landasan tepat setara dengan usaha kita membangunkan ekosistem terbaik untuk mereka bersaing secara kompetitif.
“Sudah pasti kami di barisan kejurulatihan menyambut baik program dan inisiatif yang dilaksanakan oleh Milo Malaysia dalam memberikan peluang kepada pemain untuk menyerlahkan bakat dan potensi mereka,” katanya.-UTUSAN