MELAKA: Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi menghadiri majlis resepsi anak perempuan kepada Datuk Md. Asri Ab. Rahim di sebuah hotel di sini malam ini.
Majlis persandingan pasangan Nur Nishaq Izzaty Md. Asri, 27, dan Muhammad Bukhari Mohd. Isa, 26, berlangsung meriah dan turut dihadiri Yang Dipertua Negeri Melaka, Tun Mohd. Ali Mohd. Rustam; isteri, Toh Puan Asmah Abdul Rahman termasuk Ketua Menteri, Datuk Seri Sulaiman Md. Ali.
Hadir sama ialah Ketua UMNO Bahagian Tangga Batu, Datuk Seri Mohamad Ali Mohamad dan Ketua UMNO Bahagian Kota Melaka, Datuk Abdul Razak Abdul Rahman serta kenalan terdekat Md. Asri.
Pada majlis berkenaan, Mohd. Ali dan Ahmad Zahid juga tidak melepaskan peluang menepung tawar pasangan Nur Nishaq dan Muhammad Bukhari.
Terdahulu, Yang Dipertua Negeri dan Presiden UMNO itu turut meluangkan masa bergambar bersama pengantin serta Md. Asri sebelum memasuki dewan resepsi.
Kira-kira 1,000 tetamu, sanak saudara dan kenalan hadir pada majlis yang turut diserikan dengan persembahan penyanyi, Nash. – UTUSAN