Ramai pelajar sekolah tidak pakai topi keledar

Ramai pelajar sekolah tidak pakai topi keledar

MUHAMMAD FIRDAUS Sharif (dua dari kanan) memeriksa lesen seorang pelajar pada Program Advokasi Jalan Raya di SMK Ayer Keroh, Ayer Keroh, Melaka. - UTUSAN/MUHAMMAD SHAHIZAM TAZALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Tidak memakai topi keledar ketika menunggang motosikal ke sekolah antara kesalahan paling ketara yang dikesan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Melaka melalui program advokasi jalan raya.

Pengarah JPJ Melaka, Muhammad Firdaus Sharif berkata, jarak sekolah yang dekat dengan rumah dan sekolah dalam kawasan perumahan merupakan antara alasan yang sering diberikan oleh pelajar.

Menurut beliau, kesalahan lain yang turut dikesan adalah lesen kenderaan motor dan insurans tamat tempoh, tidak mempamerkan pelekat L dan P serta pelbagai kesalahan membabitkan isu teknikal.

“Setakat ini kita telah jalankan program advokasi jalan raya di empat buah sekolah iaitu di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Pernu, SMK Bukit Katil, SMK Datuk Bendahara dan SMK Ayer Keroh.

“Sebanyak 363 buah kenderaan pelajar telah diperiksa dan kita dapati terdapat 498 kesalahan dilakukan. Kesalahan paling ketara adalah tidak memakai topi keledar ke sekolah.

“Sementara itu, sebanyak 20 kes dikesan melibatkan pelajar yang tidak memiliki lesen membawa kenderaan ke sekolah. Pada tahun lalu, sebanyak 58 saman dikeluarkan terhadap pemandu bawah umur yang kebanyakannya tidak memiliki lesen,” katanya dalam sidang akhbar Program Advokasi Jalan Raya SMK Ayer Keroh di sini hari ini.

Tambah Muhammad Firdaus, ibu bapa diingatkan supaya memastikan anak-anak yang membawa kenderaan ke sekolah memiliki lesen yang sah.

Tegasnya, ini bagi memastikan apa sahaja tindakan atau pendidikan yang diberikan JPJ kepada masyarakat dapat diteruskan di rumah.

“Seperti program advokasi ini, kita akan panggil ibu bapa untuk diberi penerangan berkaitan kesalahan yang dilakukan anak mereka. Terdapat juga ibu bapa yang akan memberikan pelbagai alasan seperti tidak sempat menghantar anak, sepatutnya abang yang hantar dan lain-lain lagi.

“Pada saya itu hanya sekadar satu sebab. Kita kena fikirkan pergerakan dan keselamatan terbaik untuk anak-anak ketika hadir ke sekolah dan pulang ke rumah,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya