KANGAR: Program Industry Days Fakulti Kejuruteraan dan Teknologi Kimia (FKTK) Universiti Malaysia Perlis (Unimap) selama tiga hari memberi pendedahan awal kepada pelajar sebagai persiapan melangkah ke alam pekerjaan kelak.
Program di Kompleks Perumahan Tan Sri Aishah Ghani, Wang Ulu di sini bermula 26 Januari lalu bertujuan memperkasa dan merapatkan hubungan antara industri dan universiti melibatkan 400 mahasiswa tahun akhir dan pasca siswazah universiti itu.
Naib Canselor Unimap, Prof. Dr. Zaliman Sauli berkata, program tersebut sebagai platform bagi mahasiswa tahun akhir mendapatkan tempat dalam industri sekali gus merencanakan masa depan lebih baik apabila tamat pengajian.
Katanya, peluang tersebut harus direbut oleh setiap mahasiswa yang ingin merealisasikan kerjaya yang diidamkan ketika cabaran peluang-peluang sedia ada lebih kompetitif.
“Dengan adanya program sebegini, para mahasiswa dapat mempersiapkan diri dan memahami kehendak serta tawaran yang disediakan oleh pihak industri.
“Input-input ini sedikit sebanyak membina kesiapsiagaan mahasiswa dalam berdepan dengan situasi sebenar ketika mereka ingin melangkah ke alam pekerjaan kelak,” katanya berucap pada majlis penutup program itu.
Turut hadir, Dekan FKTK, Prof. Dr. Mohd Mustafa Al Bakri Abdullah dan Pengarah program tersebut, Dr Azduwin Khasri yang juga Timbalan Dekan (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) FKTK.
Dalam pada itu, Mohd Mustafa berkata, sambutan luar biasa mahasiswa Unimap serta penglibatan pemain industri mampu memartabatkan usaha murni universiti memperkasakan kebolehpasaran graduan selari kehendak Kementerian Pengajian Tinggi.
“Matlamat yang diletakkan adalah supaya graduan yang bergraduasi menjadi pilihan utama dan rebutan industri dengan kemahiran dan pendedahan yang telah dilaksanakan sepanjang berada di universiti.
“Bukan sahaja penerapan akademik dan intelektual yang mampan, malah persiapan cabaran di persekitaran sebenar industri harus dititikberatkan terutama di dalam bidang kimia dan bahan,” katanya.
Antara industri terlibat dalam program berkenaan ialah ExxonMobil, CIDB Technology, Weldzone Skill Academy, Ann Joo Steel Berhad, Morris Food Industries, Gadang Works, Fuciphagus Agritech, Unimap Green Tech, Malaysia NPK Fertilizer dan beberapa industri lagi yang terlibat secara dalam talian.-UTUSAN