PADANG BESAR : Raja Muda Perlis, Brigedier Jeneral Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bangga dengan semangat, komitmen dan kesatuan yang ditunjukkan oleh seluruh warga rejimen askar wataniah sepanjang tempoh melalui era pandemik yang lalu.
Titah baginda, komitmen anggota melaksanakan sebarang tugas sangat dihargai.
“Syabas atas taat setia yang dicurahkan kepada Rejimen 504 Askar Wataniah dan dapat melaksanakan sebarang tugas yang diamanahkan tanpa ada rungutan, bantahan dan keluh kesah daripada para pegawai serta anggota lain pangkatnya semua,” titah baginda.
Baginda bertitah demikian selepas berkenaan berangkat menghadiri majlis berbuka puasa dan santapan malam Tuanku Komander Bersama Warga lR504AW 2022 di Dewan Seri Banang, Kem Bukit Keteri malam tadi.
Majlis tersebut turut dihadiri Timbalan Komandernya, Leftenan Kolonel Mohamad Zaidi Ishak, para pegawai dan anggota lain-lain.
Baginda juga berkenan menunaikan solat Maghrib, Isyak dan sunat tarawih di Surau Al-Watani di kem tersebut sebelum sama-sama berangkat menyertai jamuan santapan moreh.
Dalam pada itu, baginda bertitah, bagi penstrukturan penugasan, semua anggota angkatan tetap yang berkhidmat di rejimen ini merupakan jurulatih kepada askar wataniah di negeri ini.
“Maka, sayangi dan ajarilah anggota sukarela dengan sepenuh jiwa. Dalam masa yang sama, mereka perlulah peka akan tugas hakiki dan tambahan yang telah diamanahkan.
“Oleh itu, jadilah sebahagian daripada ejen promosi askar wataniah bagi sama-sama melengkapkan angkatan yang kredibel ini,” titah baginda. –UTUSAN ONLINE