Peniaga lemang dilema; buluh, beras pulut naik harga - Utusan Malaysia

Peniaga lemang dilema; buluh, beras pulut naik harga

PENIAGA lemang di Pulau Pinang, Roslan Hashim (kiri) terpaksa menempah buluh lemang di Kedah berikutan kenaikan harganya yang mendadak tahun ini selain terpaksa berdepan kenaikan harga beras pulut sehingga hampir dua kali ganda.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BALIK PULAU: Peniaga lemang di negeri ini turut berdepan dilema dengan kenaikan harga buluh dan beras pulut hampir dua kali ganda menjelang Aidilfitri tahun ini sehingga memaksa mereka menempah bahan utama itu dari luar daerah.

Seorang peniaga lemang Bukit Selambau di sini, Roslan Hashim, 47, berkata, dia terpaksa berdepan kenaikan harga sepotong atau katam buluh sehingga 80 sen menjadi RM2.80 sebatang manakala beras pulut Siam pula dijual RM6.80 sekilogram berbanding RM4.50 tahun lalu.

Dia bagaimanapun tidak dapat mengelak harga baharu daripada pembekal buluh dan peruncit berikutan sudah menerima kira-kira 600 tempahan juadah wajib itu daripada pelanggan tetap sejak awal Ramadan lalu.

“Memang pening kepala juga memikirkan kenaikan harga barangan keperluan utama itu sehingga memaksa kami mencari bekalan buluh sehingga di Bukit Selambau, Kedah tahun ini.

“Kebiasaannya, kami hanya akan menempah bekalan buluh di negeri ini terutama di kawasan Balik Pulau, namun, disebabkan harga yang tinggi, kami terpaksa mengambilnya sendiri daripada pembekal di Kedah.

“Ini bagi mengelak dikenakan caj lebih tinggi daripada pembekal iaitu sehingga RM3.50 sebatang termasuk kos penghantaran, tol dan minyak untuk ke sini,” katanya ketika ditemui di sini semalam.

Roslan memberitahu lagi, meskipun berdepan dengan trend kenaikan mendadak, namun, dia tetap memutuskan untuk mengekalkan harga lama bagi sebatang lemang warisannya iaitu RM20 dan RM25.

Sementara itu, seorang lagi peniaga lemang di Batu Uban, Siti Zabidah Yasak, 47, berkata, dia bukan sahaja menerima tempias akan kenaikan harga bekalan buluh dan beras pulut, malah, santan serta daun pisang juga naik secara mendadak.

“Ketika ini, harga bagi sekatam buluh dijual pada harga RM2 sepotong dan harga tersebut hanya boleh diperoleh daripada pembekal di Kedah sahaja.

“Selain itu, kami juga terpaksa berdepan dengan kenaikan harga santan yang kini dijual RM11 dan RM12 sekilogram berbanding RM10 sebelum ini serta daun pisang sehingga RM50 segulung.

“Penjual dan pembekal buluh memberi alasan mereka terdesak untuk menaikkan harga baharu selaras dengan kenaikan harga kesemua barangan keperluan utama lain di pasaran ketika ini,” jelasnya yang masih mengekalkan harga lama iaitu dari RM10 hingga RM20 bagi sebatang lemang.

Tambah Siti Zabidah, dia sememangnya amat mementingkan kualiti lemang warisan ibundanya itu selain menghargai kesetiaan pelanggan terhadap menu wajib yang dipasarkan menjelang Aidilfitri setiap tahun. –UTUSAN ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya