Nanas cobek tunggu masa dikomersialkan - Utusan Malaysia

Nanas cobek tunggu masa dikomersialkan

Datuk Dr. Nik Muhammad Zawawi Salleh (depan) menuai hasil tanaman nanas cobek ketika melawat ke ladang tanaman tersebut di Kolej Vokasional Bachok, baru-baru ini. - UTUSAN/TOREK SULONG
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BACHOK: Lembaga Perindustrian Nanas Malaysia (LPNM) sedia membantu golongan belia, termasuk graduan universiti yang menganggur untuk mengusahakan tanaman nanas cobek secara komersial.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Pengarah Wilayah Timur LPNM, Mohd. Zamani Ab. Ghani berkata, baka nanas dari keluarga Queen dengan pembiakan sulur itu dibawa masuk dari Thailand dan setakat ini hanya diusahakan di Kelantan.

Menurutnya, permintaan terhadap nanas cobek amat tinggi kerana brik kemanisannya mencapai 16 hingga 18 peratus lebih tinggi berbanding varieti nanas lain yang terdapat di negara ini.

“Nanas ini berpotensi untuk dikembangkan bagi memenuhi permintaan domestik. Ia dijual dengan harga RM8 sekilogram bagi harga ladang dan mencecah RM11 hingga RM13 sekilogram bagi pasaran runcit.

“Setakat ini hanya dua kebun mengusahakan nanas cobek komersial iaitu di Tumpat dan di Kolej Vokasional Bachok. Kolej ini juga bersedia membekalkan anak benih sulur kepada mereka yang berminat,” katanya ketika ditemui di sini semalam.

Terdahulu, Mohd. Zamani mengiringi Timbalan Menteri Pertanian, Datuk Dr. Nik Muhammad Zawawi Salleh yang meluangkan masa melawat ladang nanas cobek di Kolej Vokasional Bachok, di sini.

Mohd. Zamani berkata, setakat ini hanya 11.2 hektar nanas cobek diusahakan di Kampung Laut, Tumpat dan sembilan hektar di Bachok.

Katanya, varieti yang berasal dari beberapa negara seperti Brazil, Taiwan dan Thailand itu telah didaftarkan sebagai tanaman komersial di bawah LPNM pada tahun 2020 namun penanamannya hanya bertumpu di negeri ini.

“Pihak Kolej Vokasional Bachok bersedia membekalkan sulur benih dengan harga RM1.50 sepokok. Pekebun yang berhasrat mengusahakan ladang nanas ini boleh berdaftar dengan LPNM bagi mendapatkan bantuan tertentu.

“Selain nanas cobek terdapat 12 lagi varieti yang didaftarkan sebagai tanaman komersial iaitu Moris, Sarawak, Gandul, Josapine, Yankee, Moris Gajah, Maspine, N36, MD2, View Of Sunset, Madu Kaca dan nanas Keningau Diamond,” katanya.

Sementara itu, Nik Muhammad Zawawi berkata, kerajaan bersedia menyalurkan bantuan dalam usaha memperluaskan lagi penanaman nanas cobek yang unik dari segi bentuk dan kemanisannya.

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN