KUALA PILAH: Buah beluluk atau lebih dikenali sebagai buah kabung cukup popular untuk dijadikan pencuci mulut terutama pada bulan Ramadan di Negeri Sembilan.
Walaupun buahnya menghasilkan cecair yang gatal apabila terkena pada kulit, namun apabila ia sudah diproses, isinya amat sesuai untuk dicampur bahan penambah bersama air minuman seperti ais batu campur (ABC), air sirap atau ditambah bersama air kelapa dan sangat enak untuk dinikmati ketika berbuka puasa.
Bagi pengusaha buah beluluk, Abdul Ghani Wahab, 68, dari Kampung Bemban, Senaling, di sini, dia mengakui permintaan terhadap buah berkenaan lebih tinggi pada bulan Ramadan berbanding pada hari biasa.
“Walaupun saya ada mengambil juga tempahan pada hari biasa namun ia lebih dicari-dicari penggemarnya pada bulan puasa. Walaupun permintaan tinggi namun tidak ramai yang masih mengusahakan buah keluluk ini termasuk di kampung ini.
“Pembuatan isi buah beluluk ini amat rumit kerana ia perlu melalui beberapa proses sebelum buah beluluk dihidangkan sebagai bahan tambahan untuk dicampurkan dalam minuman. Buah ini perlu direbus terlebih dahulu selama satu jam bagi menghilangkan getah serta memudahkan buah tersebut dikupas,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di sini semalam.
Menurutnya, selepas direbus isi buah yang berwarna putih kenyal berbentuk bujur itu dikupas dan ia perlu direndam sebelum ia dijual.
“Isi buah ini juga boleh disimpan agak lama dan ketika tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dahulu, saya juga masih menerima tempahan dan mengepos kepada pelanggan.
“Kebanyakan pelanggan yang datang dari negeri Melaka dan Johor amat meminati buah ini. Kebanyakan mereka merupakan pengusaha ABC dan ada juga pelanggan biasa yang membeli untuk dijadikan pelbagai juadah lain seperti pengat,” katanya yang memberitahu buah beluluk diperoleh daripada pokok enau.
Abdul Ghani yang turut mengusahakan buah ini bersama isterinya, Raini Maulup, 64 berkata, mereka tidak menang tangan menerima tempahan pada bulan Ramadan ini.
“Permintaan boleh mencapai sebanyak 300 kilogram sebulan. Harga yang dijual bagi isi buah beluluk mentah adalah sebanyak RM18 sekilogram manakala bagi isi buah yang sudah direbus adalah RM27 sekilogram.
“Pada tahun ini, ramai yang pulang ke kampung halaman berbuka puasa bersama keluarga saya khuatir ia tidak mencukupi. Bagi mereka yang berminat boleh menempah lebih awal dan saya ada menjual buah di hadapan rumah setiap petang sepanjang bulan Ramadan,” katanya.
Abdul Ghani menjelaskan, kini, dia terpaksa menggunakan khidmat anak saudaranya untuk memanjat pokok enau dan mencari kayu untuk merebus buah tersebut kerana faktor usianya.
“Saya pernah terjatuh kerana memanjat pokok untuk mendapatkan buah beluluk ini. Kini, saya sudah berusia dan tidak mampu lagi melakukannya. Anak buah saya akan membantu mencari buah ini setiap hari bagi memastikan pengeluaran buah ini tidak terputus.
“Setakat ini, saya hanya satu-satunya pengusaha buah ini di kampung ini. Saya masih mengekalkan keaslian buah ini termasuk merebus buah ini menggunakan kayu api,” katanya. –UTUSAN ONLINE