Warna-warni pelangi di Kampung Sungai Budor - Utusan Malaysia

Warna-warni pelangi di Kampung Sungai Budor

ORANG ramai bersiar-siar melewati rumah-rumah yang dicat dengan warna pelangi di Kampung Budor, Kota Bharu. - UTUSAN/ZULHANIFA SIDEK
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA BHARU: Kampung Sungai Budor, di sini yang satu ketika dulu suram dengan deretan rumah usang, kini berubah menjadi ceria selepas dicat dengan warna pelangi sehingga menjadi lokasi tumpuan pelancong.

Tinjauan Utusan Malaysia mendapati, kampung terletak di tebing Sungai Kelantan itu meriah dengan kehadiran pengunjung, terutama pada waktu petang untuk bersiar-siar bersama keluarga masing-masing.

Penghulu Mukim Penambang, Zaharuddin Zakaria berkata, projek Rumah Pelangi itu dijayakan Pertubuhan Prihatin Wanita Kelantan bersama Majlis Perbandaran Kota Bharu Bandar Raya Islam (MPKB-BRI) dan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) pada 2018.

Kata beliau, ia adalah inisiatif pihak terbabit untuk mentransformasi Kampung Sungai Budor yang sebelum ini kurang mendapat perhatian menjadi salah satu lokasi tarikan pelancong baharu di Kelantan.

“Pada 2018, hanya enam rumah dicat dengan warna-warna pelangi dan langkah itu berjaya membuatkan kampung ini lebih dikenali sehingga mewujudkan peluang perniagaan kepada penduduk.

“Sehubungan itu, lebih banyak rumah dicat dengan warna sama sekali gus berjaya mengubah Kampung Sungai Budor menjadi sebuah kampung pelangi,” katanya ketika ditemui di sini baru-baru ini.

Dalam pada itu, Zaharuddin berkata, berdasarkan bancian terkini, sebanyak 153 buah rumah penduduk di situ belum dicat dengan warna pelangi dan dilakukan secara berperingkat.

“Sebelum dicat, mana-mana rumah penduduk yang mengalami kerosakan dibaik pulih terlebih dahulu oleh petugas MPKB-BRI. Selepas itu barulah kerja-kerja mengecat dilakukan,” katanya.

Sementara itu, seorang penduduk, Wan Rosli Ismail, 57, berterima kasih kepada semua pihak yang menjayakan projek Rumah Pelangi kerana inisiatif mereka berjaya mencipta peluang perniagaan kepada masyarakat tempatan.

“Sebelum Covid-19, kampung ini dikunjungi pelancong dari China, Jepun dan Vietnam namun terhenti akibat pandemik. Harap-harap selepas pintu sempadan dibuka semula 1 April ini, kampung ini kembali meriah dengan kehadiran pelancong,” katanya. –UTUSAN ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya