JERANTUT: Seorang pemandu alam sekitar Taman Negara Kuala Tahan menceburi bidang pertanian dengan mengusahakan tanaman terung panjang di tapak seluas 0.4 hektar berdekatan rumahnya di Kampung Kuala Tahan di sini.
Pemuda yang masih bujang itu terpaksa merebut peluang dalam bidang pertanian komersial pula ekoran pendapatan tidak menentu di sektor ekopelancongan Taman Negara yang diceburinya sepenuh masa sebelum ini.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Mohd. Kamil Hakim Rozali, 32, berkata, dia mula menceburi bidang pertanian secara serius setelah kehilangan pendapatan sejak penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), 18 Mac 2020.
“Senario ancaman Covid-19 belum pulih sepenuhnya menyebabkan pendapatan saya sebagai pemandu alam sekitar tidak menentu, bergantung kepada kehadiran pengunjung ke Taman Negara.
“Masa terluang ini, saya penuhi dengan tanaman cili kulai bermula sejak PKP dua tahun lalu dan kini beralih pula kepada terung panjang berasaskan permintaan yang tinggi di pasaran,” katanya di Kampung Kuala Tahan di sini semalam.
Mohd. Kamil Hakim berkata, dua tahun lalu, dia mengusahakan tanaman cili kulai dengan bermula 1,800 beg fertigasi dan memperoleh pendapatan yang cukup lumayan dalam tempoh enam bulan cili yang dipetik secara berperingkat.
Pemuda yang mempunyai Diploma Pentadbiran Awam, Universiti Teknologi Mara (UiTM) itu seterusnya berkata, dengan bermodalkan hasil simpanan RM1,500, dia mengalih pula tanaman terung panjang pada 2 Disember tahun lalu di tapak berdekatan rumahnya.
“Ketika musim tengkujuh penghujung tahun lalu, pengunjung tidak singgah di Taman Negara, jadi saya mengambil peluang menanam pula terung panjang sambil berharap dapat menampung pendapatan untuk keluarga.
“Saya menggunakan kaedah fertigasi menerusi tunjuk ajar amalan pertanian daripada Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Tembeling Tengah malah rakan yang pernah mengusahakan tanaman komersial ini tidak lokek berkongsi pengalaman,” katanya.
Katanya, pusingan pertama terung panjang yang mula dipetik minggu ini memperolehi seberat 200 kilogram dan telah dijual secara borong ke pasar bandar Jerantut dengan harga RM5 sekilogram.
“Ini baru permulaan dan saya menjangkakan terung panjang akan dipetik lagi pada minggu depan dan berterusan mengikut pusingan pokok terung berbuah sehingga bulan Jun ini.
“Saya tidak akan menoleh ke belakang lagi malah tidak pasti bila sektor pelancongan di Taman Negara Kuala Tahan kembali pulih seperti sediakala,” katanya.
Mohd. Kamil Hakim berharap rakan yang lain dapat memulihkan tanah terbiar di tempat tinggal masing-masing untuk pertanian komersial walaupun peringkat awalnya cuma menjana sedikit hasil dan pendapatan yang kecil.
“Tetapi lama-kelamaan setiap usaha dan cabaran ditempuh dengan kesungguhan dan sabar, maka rezeki tidak akan tersalah alamat dan kita akan menikmati hasil yang lumayan,” ujarnya. –UTUSAN ONLINE