Pusat rekreasi rosak akibat kepala air dibaiki  - Utusan Malaysia

Pusat rekreasi rosak akibat kepala air dibaiki 

ZAINUDDIN Jamaluddin (kiri) meninjau sebuah titi yang rosak akibat kejadian kepala air di Taman Eko Rimba Bukit Wang, Jitra hari ini. - UTUSAN/MOHD. RIFAAT ABD. HAMID
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JITRA: Sembilan pusat rekreasi yang terjejas dalam beberapa kejadian kepala air di negeri ini pada November tahun lalu akan dibaiki dan dinaik taraf dalam tempoh terdekat.

Menurut Timbalan Pengarah Pembangunan, Jabatan Perhutanan Negeri Kedah (JPNK), Zainuddin Jamaluddin berkata, jumlah keseluruhan pusat rekreasi di negeri ini adalah sebanyak 19 pusat, tetapi hanya sembilan sahaja yang terjejas akibat tragedi tersebut.

Menurutnya, antara pusat rekreasi yang terjejas adalah di Tupah, Jerai, Lata Bayu, Seri Perigi dan Taman Eko Rimba Bukit Wang.

Katanya, kawasan rekreasi tersebut sebelum ini merupakan antara tempat tumpuan orang ramai termasuk pelancong terutamanya pada hujung minggu dan musim cuti sekolah.

“Kerja-kerjas membaik pulih tersebut dijangka mengambil masa antara tiga hingga empat bulan,” katanya kepada pemberita selepas melawat di Taman Eko Rimba Bukit Wang di sini hari ini.

Zainuddin berkata, JPNK juga telah melantik beberapa syarikat untuk menjalankan kerja-kerja membaik pulih kerosakan di kawasan rekreasi berkenaan.

“Antara kerosakan adalah titi, kawasan siar, laluan siar kaki, tandas, dewan dan gazebo,” ujarnya.

Selain itu, beliau memberitahu, pada masa ini, pusat rekreasi di Hutan Lipur Lata Bayu di Baling masih ditutup kepada orang ramai atas faktor keselamatan.

Tambahnya, JPNK juga menempatkan seramai tiga anggota di setiap pusat rekreasi tersebut bagi melakukan pemantauan dan menjaga keselamatan pengunjung.

“Dalam masa sama, pihak kami turut menasihatkan pengunjung sentiasa berhati-hati dan peka dengan keadaan sekeliling terutamanya ketika  hujan lebat kerana bimbang tragedi kepala air berulang semula,” ujarnya. –UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya