Penoreh getah makin tertekan - Utusan Malaysia

Penoreh getah makin tertekan

ASMAH Othman (kiri), Mat Dilu Selat, dan Norfazlina Mat Dilu (kanan) gusar mengenangkan nasib mereka sebagai pekebun dan penoreh getah ekoran pendapatan rendah yang diperoleh mereka pada setiap bulan. - UTUSAN/NORHAFIZAN ZULKIFLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JERANTUT: Kerajaan dicadang menaikkan harga getah sehingga RM5 sekilogram supaya ia selari dengan keadaan ekonomi semasa dan harga barangan yang terus mengalami kenaikan sekali gus membebankan pengguna khususnya golongan berpendapatan rendah.

Pada ketika ini, harga getah antara RM3.20 ke RM3.40 sekilogram hanya membolehkan penorehnya memperoleh pendapatan sekitar RM1,000 ke RM1,500 sebulan bergantung kepada jumlah hasil diperoleh.

Sehubungan itu, kenaikan tersebut dapat membantu dan membolehkan lebih ramai penoreh getah keluar dari garis kemiskinan kerana harga getah sekerap jauh lebih rendah berbanding kelapa sawit sekali gus mewujudkan jurang yang besar antara pengusaha kebun getah dan kelapa sawit.

Tidak hanya itu, penoreh getah juga berharap agar kerajaan dapat menyediakan bantuan baja dan racun memandangkan harga dua bahan tersebut semakin meningkat.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, pekebun dan penoreh getah di Kampung Paya Garuk di sini, Mat Dilu Selat, 75, berkata, harga getah yang rendah selain hasil yang sedikit menyukarkan pekebun untuk membeli racun dan baja yang dikatakan semakin mahal.

“Harga getah yang kami dapat dari peraih adalah sekitar RM3.20 hingga RM3.40 sekilogram dan dengan hasil yang sedikit, pendapatan sebulan yang kami peroleh tidak sampai RM1,000 sebulan.

“Dengan pendapatan yang diperoleh tidak cukup untuk kami membeli racun dan baja untuk meningkatkan hasil getah kerana ia hanya cukup untuk belanja seharian kami sekeluarga,” katanya di sini semalam.

Penoreh getah, Asmah Othman, 61, pula berkata, dia merayu agar pihak kerajaan dapat mengambil berat akan kebajikan pekebun dan penoreh getah.

“Sekarang semua harga barangan juga sudah naik dan kami tidak dapat bergantung sepenuhnya mata pencarian kami dengan menoreh getah.

“Walaupun harga getah dikatakan lebih mahal dari sawit mengikut kilogram, namun hasilnya tidak sebanyak sawit, tambahan pula pelbagai halangan terpaksa dihadapi termasuk cuaca yang tidak menentu membuatkan kami tidak dapat meraih hasil yang banyak,” katanya memberitahu jika musim tengkujuh, penoreh langsung tidak dapat ke kebun untuk menoreh getah.

Pemilik kebun getah, Norfazila Mat Dilu, 30, pula berkata, dengan keluasan kebun sekitar 0.8 hektar miliknya itu tidak cukup untuk menyara kehidupannya sekeluarga.

“Sebulan dapat tidak sampai RM1,000 dan ia sememangnya tidak cukup untuk menyara kehidupan kami sekeluarga apatah lagi hendak membeli keperluan untuk kebun,” katanya.

Menurut Norfazila, dia pernah terdetik hendak menggantikan tanaman getahnya kepada tanaman sawit yang lebih menguntungkan kini namun terpaksa membatalkan hasratnya itu setelah memikirkan tanaman getah warisan keluarganya itu yang telah berjasa selama sekitar 20 tahun.

“Kalau ikutkan memang ada terfikir nak tanam sawit, tapi sayang pula sebab kebun getah ini sudah lama diusahakan kami sekeluarga. Selain itu, kami juga terpaksa memikirkan pelbagai faktor lain seperti gangguan gajah dan lain-lain,” katanya. –UTUSAN ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya