Harumanis merosot tahun ini - Utusan Malaysia

Harumanis merosot tahun ini

HASIL mempelam harumanis pada April depan dijangka merosot berikutan hujan sejak kebelakangan ini sekali gus menjejaskan hasil dan kualiti buah berkenaan.- UTUSAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ARAU: Hujan lebat berterusan kebelakangan ini menyebabkan pertumbuhan buah mempelam harumanis yang sepatutnya boleh dituai pada pertengahan April ini terbantut sekali gus menyebabkan hasil pengusaha merosot.

Lazimnya sekitar Disember harumanis mula berbunga namun disebabkan hujan berterusan ketika ini menyebabkan bunga rosak dan bertukar hitam mengakibatkan buah tidak menjadi atau jika berbuah kualitinya kurang memuaskan.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, seorang pengusaha, Mohd. Zahir Md. Nazir,32, berkata, dia menjangkakan hasil yang diperolehi musim ini hanya sekitar 900 biji berbanding tahun lalu mencecah lebih 3,000 biji membabitkan 100 pokok di kawasan seluas 0.3 hektar.

Beliau yang mengusahakan tanaman di Jawi Endon, Simpang Empat di sini berkata, hujan kebelakangan ini adalah di luar jangka kerana Januari sehingga Mac lazimnya cuaca selalunya cerah dan panas.

Katanya, mempelam harumanis yang sedang berbunga tidak boleh terkena hujan yang berterusan kerana ia akan menjejaskan proses pertumbuhannya.

“Bulan ini hujan dilihat berterusan di saat pengusaha sedang menanti masa menuai hasil April ini. Sedih juga apabila melihat hasil mungkin berkurangan akibat hujan yang secara tiba-tiba berterusan kebelakangan ini.

“Musim lalu, pendapatan saya sekitar RM12,000, musim ini mungkin tinggal RM3,000 sahaja ekoran hasil yang merosot. Sepanjang tujuh tahun memungut hasil, musim ini dijangka paling merosot teruk hasil,” katanya.

Tambahnya, proses bunga selalunya akan berlanjutan sehingga Februari atau Mac dan hasil sudah boleh dituai pada April.

Katanya, apabila bunga berwarna hitam ia terpaksa dipotong dengan harapan akan ada bunga baru selepas itu.

“Kami berharap cuaca akan kembali elok selepas ini memandangkan sudah tidak lama lagi hasil harumanis sudah boleh dituai,” katanya.

Sementara itu, Mohd Zahir berkata, selain hasil dijangka merosot, pengusaha juga berdepan masalah kenaikan harga input pertanian sebelum ini yang bakal menyebabkan pendapatan terjejas. –UTUSAN ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya