Harga getah tidak stabil, peneroka mahu beralih tanam sawit - Utusan Malaysia

Harga getah tidak stabil, peneroka mahu beralih tanam sawit

YURAN ONDOROS
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA KINABALU: Masalah harga getah yang tidak stabil mengakibatkan peneroka getah terus berada dalam dilema sehingga terfikir untuk beralih kepada tanaman kelapa sawit.

Namun, disebabkan terikat dengan skim Lembaga Industri Getah Sabah (LIGS) maka, peneroka di Sabah terpaksa meneruskan perusahaan tanaman getah walaupun harga getah tidak seimbang.

Yuran Ondoros, 60, berkata, bukan mudah untuk peneroka sepertinya bertahan ketika harga getah turun tapi, kebanyakan peneroka di sini terikat dengan skim LIGS jadi, bukan mudah untuk mereka menukar tanaman kepada kelapa sawit.

“Kami pernah membangkitkan cadangan menukar tanaman ini kepada pegawai LIGS tapi, pihak lembaga hanya membenarkan tanaman getah sahaja,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Maka beliau merayu kepada kerajaan untuk mengambil inisiatif menetapkan harga lantai getah yang lebih tinggi bagi membolehkan peneroka dan pekebun kecil getah dapat menikmati hasil lebih baik.

“Ketika ini, harga barang semakin mahal namun, pendapatan kami sebagai peneroka masih kekal ditakuk lama. Bukan juga terlalu susah namun, keadaan semasa membebankan kami yang bergantung sepenuhnya kepada hasil getah.

“Sekarang saya mampu memperoleh kurang daripada RM2,000 dengan kadar harga sekerap getah semasa. Namun, jika harga sekerap getah naik sehingga RM9 sekilogram seperti dahulu, pendapatan saya boleh mencecah RM3,000,” katanya.

Menurut beliau, kerajaan perlu memperkenalkan lebih banyak inisiatif bagi membantu meningkatkan pendapatan peneroka getah sepertinya.

Berkongsi mengenai masalah di Skim Lagud Sebrang, Tenom, Yuran berkata, masalah jalan raya yang rosak dan pengangkutan merupakan kekangan utama mereka untuk mengusahakan ladang getah di skim tersebut.

Jelas beliau, jalan masuk ke ladang terlalu berlumpur dan menyukarkan pergerakan mereka semasa musim hujan.

“Keadaan jalan yang rosak ini sudah berlarutan sejak tahun lalu manakala, pengangkutan pula tidak mencukupi untuk mengangkut hasil tanaman,” jelasnya.

Di samping itu katanya, mereka turut berhadapan gangguan bekalan air yang menyukarkan mereka menjalani rutin kerja seharian. –UTUSAN ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya