SUNGAI PETANI: Restoran Uncle Chen Gulai House yang menggunakan rempah giling dalam semua jenis masakan gulai di Kota Kuala Muda dekat sini menjadi tumpuan pelanggan termasuk dari luar daerah ini sejak dua tahun lalu.
Pengurus restoran itu, Muhamad Rozi Kasim, 30, berkata, terdapat kira-kira 40 menu masakan kampung yang dijual di restorannya dan masakan paling istimewa menggunakan rempah giling adalah gulai kepala ikan dan gulai ikan sembilang.
Menurutnya, rempah giling yang digunakan adalah resepi tradisi turun temurun keluarganya yang dihasilkan menggunakan bahan-bahan seperti biji rempah dan cili kering yang berkualiti tinggi.
“Saya menggunakan kira-kira empat kilogram rempah giling untuk memasak gulai kepala ikan dan gulai ikan sembilang setiap hari,” katanya ketika ditemui di restoran di Kota Kuala Muda di sini hari ini.
Muhamad Rozi memberitahu, gulai ikan sembilang hanya akan dimasak mengikut pesanan pelanggan manakala gulai kepala ikan pula siap dimasak bersama menu-menu lain.
Tambahnya, beliau juga hanya menggunakan hasil laut segar seperti ikan, udang, sotong dan siput yang didapati dari pasar nelayan Kuala Muda di sini dalam setiap menu masakan di restorannya itu.
“Gulai ikan kepala ikan dijual pada harga antara RM15 hingga RM25 mengikut jenis ikan manakala harga gulai ikan sembilang pula RM25 hingga RM30 mengikut saiz ikan dan harga pasaran,” ujarnya.
Selain itu, Muhamad Rozi berkata, sebelum ini, dia memproses adunan rempah tersebut dengan mengupah pekerja untuk menggiling rempah secara manual.
“Bagaimanapun disebabkan permintaan meningkat, saya mengambil inisiatif menggunakan mesin pengisar untuk menggiling rempah, namun tetap menghasilkan rempah yang beraroma,” katanya.
Beliau menambah, nama restorannya, ‘Uncle Chen’ diambil daripada nama ayahnya, Kasim Ahmad yang digelar “Abang Chen” dalam kalangan penduduk setempat.
“Ada pelanggan dari luar yang keliru dengan status halal kerana nama restoran ini, jadi saya nak maklumkan restoran ini milik Muslim,” jelasnya.
Katanya, restorannya itu dibuka pada setiap hari kecuali hari Jumaat bermula dari pukul 7 pagi hingga 3 petang. –UTUSAN ONLINE