SHAH ALAM: Tindakan penggantungan terhadap 57 guru Kelas Al-Quran dan Fardhu Ain (KAFA) oleh Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) bukan dilakukan secara tergesa-gesa, sebaliknya mengikut proses tatatertib penjawat awam.
Sebelum penggantungan, beberapa langkah sudah diambil sejak tahun lalu seperti sesi kaunseling, pemakluman, peringatan dan surat amaran.
Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, tindakan penamatan perkhidmatan boleh dikenakan sekiranya guru-guru berkenaan masih enggan menerima vaksin Covid-19 dalam tempoh penggantungan.
Menurut beliau, mereka boleh kembali bertugas sekiranya akur dengan perintah jabatan untuk mendapatkan suntikan vaksin.
“Jadi, selepas beberapa proses, ini adalah mereka yang betul-betul tegar yang diulang kali diberitahu bahawa risiko ini bakal dihadapi, kerana kita kena ingat anak-anak kita yang belajar di sekolah-sekolah KAFA juga harus dilindungi dan dipastikan keadaan mereka sihat.
“Kita hormati pendirian mereka, tetapi untuk langkah-langkah tertentu yang membawa risiko, khususnya kepada anak-anak dan guru lain di sekolah, kita tak mahu ambi risiko yang besar seperti itu,” katanya dalam sidang akhbar hari ini.
Terdahulu, Pengarah Jais, Datuk Mohd. Shahzihan Ahmad memaklumkan seramai 57 orang guru yang digantung tugas akibat enggan menerima suntikan vaksin selepas arahan berbuat demikian dimaklumkan sejak tahun lalu.
Guru KAFA
Sebelum ini, seramai 130 guru KAFA di Selangor dipanggil oleh kerajaan negeri untuk sesi penerangan kali kedua susulan keengganan mereka menerima vaksin Covid-19 menerusi sesi khas dianjurkan Jais pada September.
Exco Hal Ehwal Agama Islam, Hal Ehwal Pengguna dan Industri Halal Selangor Mohd Zawawi Ahmad Mughni berkata, sesi penerangan itu membabitkan pakar kesihatan, agamawan dan mufti bagi memberi maklumat tepat berhubung pengambilan vaksin.
Dalam pada itu, Amirudin turut menegaskan, tindakan penggantungan guru-guru berkenaan turut melibatkan pembayaran elaun yang diberhentikan dalam tempoh tersebut.
“Kita sudah maklumkan risiko itu (gantung tugas, tiada elaun) lebih awal, maknanya daripada konsultasi kita sejak tahun lepas, surat amaran, pengumuman jelas diberitahu.
“Sebagaimana mereka berdepan risiko untuk tidak mengambil vaksin, kita tak boleh membuka peluang itu ataupun mendedahkan anak-anak kita kepada risiko jangkitan kalau mereka tidak bekerjasama,” jelasnya.
Katanya lagi, Jais juga akan menguruskan penyelarasan pengajaran dan pembelajaran termasuk guru ganti sepanjang tempoh penggantungan tersebut. – UTUSAN