Covid-19: Ramai gagal daftar perkahwinan di Thailand - Utusan Malaysia

Covid-19: Ramai gagal daftar perkahwinan di Thailand

AHMAD Nazri Minhat menunjukkan dokumen pasangan tempatan yang gagal mendapatkan pengesahan pernikahan luar negara sekali gus tidak boleh mendaftarkan perkahwinan mereka di Mahkamah Syariah sejak pintu sempadan ditutup. - UTUSAN/YATIMIN ABDULLAH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA BHARU: Dianggarkan lebih 100 pasangan tempatan tidak dapat mengesahkan pernikahan di Thailand, sekali gus gagal mendaftarkan perkahwinan mereka di Mahkamah Syariah, gara-gara pintu sempadan negara ditutup selain berdepan kerenah birokrasi.

Pengarah Urusan Firma Guaman Aniza Nazri Consultancy, Ahmad Nazri Minhat berkata, agensinya yang membantu menguruskan hal-hal perundangan menerima banyak permohonan daripada pasangan yang berdepan masalah itu.

Kata beliau, pasangan tersebut bernikah sebelum pintu sempadan negara ditutup, namun, tidak sempat menguruskan dokumen-dokumen berkaitan bagi membolehkan perkahwinan mereka didaftarkan.

“Akibatnya, pengesahan pernikahan mereka tertangguh sehingga sekarang. Meskipun pintu sempadan bakal dibuka 1 April ini, kos yang tinggi dan karenah birokrasi menyusahkan mereka. Diharap kerajaan boleh mempermudahkan urusan seperti membuka kaunter bergerak.

“Tahun lalu, bermula Januari hingga 24 Jun, pihak Konsulat Jeneral Malaysia telah mewujudkan unit bergerak bagi tujuan penyerahan dokumen pengesahan nikah di luar negara di Kompleks Imigresen, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Bukit Kayu Hitam, Kedah.

“Usaha dilakukan pihak konsulat itu amat membantu, tetapi sayangnya, hanya sekerat jalan kerana tidak pernah disambung lagi hingga ke hari ini,” katanya kepada Utusan Malaysia, di sini hari ini.

Ahmad Nazri berkata, pihaknya pernah mengemukakan cadangan kepada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dan Konsulat Jeneral supaya memohon kelonggaran berkaitan urusan tersebut daripada pihak berkuasa.

Bagaimanapun, katanya, Jakim enggan memberikan kerjasama untuk membantu mencari kata sepakat, sekali gus menyelesaikan masalah yang membelenggu pasangan terbabit secara menang-menang.

“Respon Jakim itu amat mengecewakan kerana bagi saya, masalah ini bakal memberi kesan jangka panjang kepada perkahwinan itu serta kepada anak-anak pasangan terbabit sekiranya tidak diselesaikan dengan segera.

“Ketika ini, syarat untuk pendaftaran perkahwinan luar negara di Mahkamah Syariah adalah setiap pasangan perlu mempunyai surat keterangan nikah dari Pejabat Agama Islam Wilayah Thailand dan surat pengesahan dari Konsulat Jeneral Malaysia di wilayah Songkhla. Tanpa surat pengesahan tersebut, pendaftaran kes di mahkamah tidak dapat dilaksanakan,” katanya.

Kata Ahmad Nazri lagi, pihaknya pernah cuba mendapatkan ‘seal copy’ Mahkamah Tinggi untuk mewakili 100 pasangan mendapatkan surat pengesahan di Thailand pada 10 Januari lalu, namun, gagal kerana tidak mendapat kebenaran pihak Wisma Putra terlebih dahulu.

“Wisma Putra mengarahkan pihak saya berhubung dengan Jakim semula sedangkan Jakim enggan memberi kerjasama dan memutuskan untuk mengekalkan peraturan sedia ada iaitu pasangan kena pergi ambil sendiri surat pengesahan di Thailand.

“Peraturan ini seolah-olah tidak berperikemanusian kerana tidak menghiraukan kekangan termasuk kos tinggi yang dihadapi pasangan sehingga menyusahkan mereka mendaftarkan perkahwinan,” katanya. –UTUSAN ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya