CAMERON HIGHLANDS: “Saya tergamam, tidak mampu bergerak walaupun berada di dalam kenderaan apabila seekor harimau betul-betul berada di depan mata saya.”
Demikian cerita Zaid Ali, 63, yang terserempak seekor harimau di jalan utama di sini kira-kira pukul 11.30 pagi semalam.
Zaid yang bekerja sebagai kontraktor binaan di sini berkata, sebelum itu dia yang menaiki kenderaan pacuan empat roda (4WD) seorang diri sedang dalam perjalanan ke pekan Tanah Rata.
Menurutnya, sebaik sahaja melepasi satu selekoh, dia ternampak seekor harimau di tengah-tengah jalan raya.
Katanya, dia segera memberhentikan kenderaannya betul-betul di hadapan haiwan pemangsa itu.
“Saya tergamam melihat seekor harimau setinggi paras pinggang manusia yang secara tiba-tiba berada di depan mata saya dengan jarak kira-kira lima meter.
“Haiwan itu tidak banyak bergerak, juga tidak agresif hanya mundar-mandir di hadapan kenderaan saya selama kira-kira 10 minit. Saya sempat melihat keadaan fizikalnya yang sempurna tanpa ada sebarang kecederaan.
“Dalam keadaan cemas itu saya sempat berfikir untuk menaikkan cermin kenderaan yang terbuka ketika itu, malah cuba mengeluarkan telefon bimbit dari dalam poket seluar untuk merakam video haiwan itu namun tersangkut.
“Hanya Tuhan sahaja yang tahu betapa takutnya saya ketika itu namun bersyukur apabila haiwan itu kemudiannya masuk hutan berdekatan dan terus menghilang,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia hari ini.
Menurutnya, sebaik sahaja haiwan itu menghilangkan diri, dia segera masuk ke kawasan perkampungan Orang Asli berdekatan untuk memaklumkan kepada penduduk mengenai kehadiran haiwan pemangsa itu.
Katanya, dia bimbang kerana lokasi penemuan haiwan itu merupakan laluan utama penduduk Orang Asli keluar masuk ke perkampungan mereka.
“Saya terus masuk ke kawasan kampung Orang Asli berdekatan dan mana-mana orang yang saya temukan di laluan itu, saya beritahu tentang penemuan haiwan itu.
“Sebaik sahaja dimaklumkan, ada penduduk yang dalam perjalanan untuk keluar dari kampung terus berpatah balik kerana bimbang keselamatan mereka,” katanya.
Menurutnya, berdepan haiwan pemangsa itu merupakan pengalaman yang tidak dapat dilupakan.
“Sebelum ini memang saya tahu ada satu rakaman video haiwan itu yang dirakamkan sedang mundar mandir di Jalan Simpang Pulai – Cameron Highlands minggu lalu.
“Mungkin harimau yang saya jumpa semalam adalah haiwan yang sama yang dirakamkan minggu lalu namun saya tak sangka haiwan ini muncul terlalu dekat dengan penempatan manusia,” katanya.
Zaid berharap pihak berkenaan dapat menangkap haiwan itu bagi meredakan kebimbangan penduduk di sini. –UTUSAN ONLINE