Tanaman sayur secara fertigasi di hotel - Utusan Malaysia

Tanaman sayur secara fertigasi di hotel

SM Zulkifli SM Amin menunjukkan projek tanaman sayur-sayuran menggunakan kaedah Urban Farming Smart Fertigation Box yang dijalankan di Hotel Sri Klawang, Jelebu. - UTUSAN/ZAKKINA WATI AHMAD TARMIZI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JELEBU: Kesukaran untuk mendapatkan bekalan sayur-sayuran termasuk ulam-ulaman menjadi pencetus idea kepada seorang pengusaha hotel menjalankan tanaman sayur-sayuran secara fertigasi di kawasan premis hotelnya itu.

Pengusaha Hotel Sri Klawang, Datuk SM Zulkifli SM Amin, 55, berkata, pihaknya memang mengalami kesukaran mendapatkan bekalan sayur di daerah ini bagi kegunaan bahagian dapur hotel malah terpaksa mencari hasil tani tersebut dari daerah Seremban.

“Idea untuk menjalankan tanaman secara fertigasi sejak dua minggu lalu ini bermula apabila kami sukar untuk mendapatkan bekalan sayur dan ulam kerana di hotel ini terdapat kafe bagi pengunjung dan tetamu yang datang menjamu selera.

“Jadi saya mulakan kaedah tanaman secara fertigasi dengan sistem ‘Smart Fertigation Box’ dengan memanfaatkan ruang kosong yang terdapat di kawasan belakang hotel ini,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di hotelnya yang terletak di Kuala Klawang, di sini semalam.

Menurut SM Zulkifli, projek pertanian secara moden itu dimulakannya dengan menanam sebanyak 200 polibeg tanaman cili padi, daun kesum, bayam Brazil dan pegaga.

“Buat masa ini, kami satu-satunya hotel yang menyahut cabaran bagi menggunakan kaedah tanaman secara fertigasi.

“Alhamdulillah walaupun ia baharu dua minggu namun ada beberapa jenis sayur-sayuran dan ulam yang sudah mula menampakkan hasil,” katanya.

Dalam pada itu, beliau memberitahu turut mendapat bantuan daripada pihak Jabatan Pertanian dalam memastikan tanamannya itu diusahakan dan dijaga dengan kaedah yang betul.

“Disebabkan ini projek rintis jadi banyak pihak yang datang melihatnya dan membantu memberikan khidmat nasihat. Bagaimanapun, tanaman secara fertigasi ini lebih mudah untuk diusahakan, tidak perlu tanah yang luas dan tidak perlu juga membuat batas.

“Di Jelebu ini juga, saya lihat kebanyakan warga emas yang tinggal di kampung-kampung juga telah mula meminati cara penanaman begini. Cara ini sesuai kerana tidak perlu mencangkul dan menggunakan kudrat badan,” katanya. –UTUSAN ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya