LIPIS: Sejak lebih 20 tahun lalu, Stesen Keretapi Mela di sini sunyi sepi kerana tiada lagi persinggahan tren Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) di situ.
Difahamkan, tren KTMB hanya lalu di laluan di kampung itu tetapi tidak lagi singgah di stesen berkenaan selepas siap dibina jalan luar bandar iaitu jalan raya Kerambit ke Kuala Lipis.
Kini, KTMB mengembalikan perkhidmatan tren Diesel Multiple Unit (DMU) di luar bandar Lipis khususnya singgah di Stesen Keretapi Mela sekali gus menggembirakan penduduk di situ.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, penduduk Mela, Mohd. Safri Salleh berkata, kemudahan yang kembali disediakan oleh KTMB itu dapat merancakkan kembali ekonomi penduduk setempat berasaskan pasaran hasil pertanian dan pelancongan.
“Saya amat menghargai usaha KTMB yang mengembalikan perkhidmatan tren ini semula di luar bandar Lipis khususnya singgah di stesen Mela berbanding sebelum ini terhenti sejak lebih 20 tahun berikutan selepas siap dibina jalan raya Kerambit ke Kuala Lipis.
“Perkhidmatan semula tren DMU KTMB ini amat signifikan kepada penduduk luar bandar khususnya mereka yang tidak mempunyai kenderaan, warga emas, pelajar ke sekolah malah mereka yang berminat untuk perjalanan secara santai dan selamat ke destinasi pilihan masing-masing,” katanya semalam.
Bermula Isnin lalu, KTMB menawarkan tiket percuma kepada penduduk kampung laluan Lipis ke Gemas, Negeri Sembilan selama tiga hari sehingga 23 Februari ini.
Rata-rata penduduk Mela teruja menikmati perjalanan singkat berulang-alik dari kampung itu ke stesen Mentakab dan kembali semula dengan tren sama dari Gemas ke Mela.
Mereka berterima kasih kepada KTMB dengan perkhidmatan perjalanan dari Lipis ke Gemas kerana ia lebih selesa dan cepat menggunakan perkhidmatan tren tersebut untuk ke destinasi pilihan seperti peluang berbelanja di bandar terdekat, iaitu Jerantut, Lipis dan Gua Musang (Kelantan) pada setiap hari.
Ketua Kampung Mela, Rosli Ismail pula berkata, penduduk di situ juga berharap supaya perkhidmatan itu ada penambahbaikan selaras dengan pembangunan moden pengangkutan darat dan kompetitif di negara ini.
“Saya dan penduduk luar bandar daerah ini sangat sinonim dengan perjalanan kereta api sejak kecil dan kemudian terhenti akibat jalan raya dibina.
“Kita yakin perkhidmatan tren ini akan terus berfungsi memberikan perkhidmatan selesa dan terbaik dan berharap KTMB dapat menukarkan ‘wajah’ baharu stesen Mela dan kampung lain yang menjadi persinggahan sejajar persaingan yang kompetitif serta tarikan pelawat,” katanya. –UTUSAN ONLINE