Rumah seniwati Norizan di Teluk Intan - Utusan Malaysia

Rumah seniwati Norizan di Teluk Intan

RUMAH papan yang pernah menjadi tempat tinggal seniwati negara, Norizan di Jalan Syed Abu Bakar di Teluk Intan. - UTUSAN/AIN SAFRE BIDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TELUK INTAN: Sebuah rumah papan berwarna kuning dengan seni bina Melayu yang tersergam di Jalan Syed Abu Bakar di sini pasti akan menarik perhatian sesiapa yang melalui jalan itu.

Mungkin tidak ramai yang mengetahui rumah berwarna kuning itu mempunyai sejarah menarik untuk dikenang kerana ia merupakan rumah yang pernah menjadi kediaman seniwati tersohor negara, Allahyarham Norizan.

Rumah itu dipercayai dibina pada tahun 1940-an, merupakan hadiah kepada Norizan atau nama sebenarnya Noorizan Mohd. Noor selepas berkahwin dengan Sultan Perak ke-32, Almarhum Sultan Yussuf Izzuddin Shah.

Namun, Norizan jatuh cinta dengan P. Ramlee lalu beliau akhirnya meninggalkan rumah ini dan akhirnya berpisah dengan Sultan Yusof.

Norizan dan P. Ramlee kemudiannya berkahwin dan sejak itu Norizan tidak pernah kembali lagi ke rumah tersebut.

Najlil Hayati Abdullah, 60, merupakan seorang daripada lima adik beradik kini mewarisi rumah penuh bersejarah itu.

Menurutnya, Norizan merupakan anak kelahiran negeri Perak dan setelah meninggalkan rumah itu kerana berkahwin dengan P. Ramlee, Norizan tidak lagi kembali ke rumah itu.

“Rumah ini mempunyai nilai sejarah yang tinggi bukan sahaja kerana ia didiami oleh seniwati terkenal tetapi juga kerana seni binanya begitu indah, keadaannya masih kukuh.

“Walaupun kini kosong, rumah ini masih cantik, indah dengan landskap yang menarik kerana ditanam pokok bunga di sekelilingnya,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia.

Menurutnya, keunikan rumah itu menarik minat seorang pengarah drama bernama Aziz Abas yang berasal dari Bagan Datuk apabila menjadikan rumah itu sebagai lokasi penggambaran drama televisyen terkenal sekitar tahun 1980-an, Anjang Aki.

“Sekitar tahun 1980-an, beberapa lagi pengarah drama menjadikan rumah ini sebagai lokasi penggambaran.

“Yang paling dikenang ialah penggambaran drama popular ketika itu iaitu Anjang Aki yang menjalani penggambaran selama tiga bulan di rumah ini.

“Drama itu dilakonkan oleh Baharuddin Haji Omar, Ismail Hutson dan juga Dian P. Ramlee,” katanya.

Najlil Hayati memberitahu, ketika ini rumah bersejarah itu memang kosong kerana semua adik beradiknya masing-masing sudah berkeluarga.

“Namun suatu hari nanti, kami semua adik beradik akan pulang ke rumah ini dan membawa anak dan cucu kami ke rumah ini.

“Kami akan ceritakan sejarah rumah ini. Rumah ini akan menjadi milik generasi kami yang seterusnya. Nilainya terlalu tinggi dan sukar untuk sesiapa yang ingin membelinya,” katanya. –UTUSAN ONLINE

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya