Ribuan pengunjung serbu pantai Pengkalan Balak - Utusan Malaysia

Ribuan pengunjung serbu pantai Pengkalan Balak

ORANG ramai bersantai di Pantai Pengkalan Balak, Masjid Tanah, Melaka sempena cuti Tahun Baru Cina. - UTUSAN/AMRAN MULUP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR GAJAH: Pantai Pengkalan Balak di Masjid Tanah menjadi tumpuan orang ramai khususnya dari luar negeri ini menghabiskan cuti sempena sambutan Tahun Baharu Cina.

Tinjauan Utusan Malaysia semalam mendapati, bukan sahaja pantai tersebut menjadi tumpuan, malah, Pantai Padang Kemunting juga turut diserbu orang ramai untuk bersantai bersama keluarga.

Malah, jalan masuk juga turut sesak sejak tengah hari hingga memaksa pengunjung menggunakan laluan alternatif Tanjong Bidara – Padang Kemunting.

Hampir ke semua chalet, resort serta motel di sepanjang laluan dari Pengkalan Balak hingga Padang Kemunting pula habis ditempah sejak Sabtu lalu.

Malah, ada pengunjung yang datang dari Kuala Lumpur dan Selangor hampa apabila kesemua tempat penginapan habis ditempah hingga memaksa mereka mencari hotel di sekitar Pekan Masjid Tanah atau di Bandar Melaka.

Sepanjang pantai dipenuhi orang ramai yang mandi-manda dan menikmati makanan dan minuman di warung sepanjang pantai berkenaan.

Seorang pengunjung, Anita Zainuddin, 52, berkata, peluang cuti sempena Tahun Baru Cina digunakannya bersama keluarga untuk bersantai di Pengkalan Balak.

Katanya, ini adalah kali ketiga sejak tiga tahun lalu dia datang bercuti di sini.

“Bercuti di sini sangat mengujakan dan anak-anak saya suka dengan pantai di sini, lagipun dengan Kuala Lumpur tidaklah jauh sangat kalau nak dibandingkan kalau ke Pulau Pangkor, Perak,” katanya.

Katanya, mujurlah suaminya menempah awal chalet di pantai tersebut, jika tidak, sudah tentu mereka terpaksa menginap di Banda Hilir.

Bagi seorang ahli perniagaan, Izam Zamzuri Sulaiman, 53, berkata, dia dan anggota keluarganya dari Puchong Perdana, Selangor memang merancang awal untuk bercuti di Melaka.

“Anak-anak saya seronok dapat menginap dan bercuti di sini. Walaupun ramai orang tetapi pantainya cukup luas hingga ke Padang Kemunting,” katanya. -UTUSAN ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN