KULIM: Lebih 2,000 penduduk di Taman Serai Wangi di sini yang menggunakan Lorong Serai Wangi Baru ke Jalan Bagan, Padang Serai merayu pihak berkuasa memasang lampu isyarat di simpang tiga di jalan tersebut untuk mengelakkan kesesakan pada waktu puncak.
Kesesakan di jalan tersebut juga berlaku kerana menjadi tempat kenderaan ringan membuat pusingan U ke Tasek Gelugor, Pulau Pinang dan pekan Padang Serai.
Seorang penduduk Taman Serai Wangi, Mohd. Ashraff Sulaiman, 35, berkata, situasi tersebut menjadikan simpang tiga tersebut sesak dengan kenderaan pada waktu puncak.
Katanya, pembinaan pembahagi jalan di simpang tiga itu juga menyebabkan jalan tersebut sesak kira-kira dua tahun lalu.
“Pengguna yang ingin ke Tasek Gelogor terpaksa mengambil masa yang lama untuk melintas jalan dan menimbulkan kesulitan kepada pengguna yang ingin membuat pusingan U ke pekan Padang Serai,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.
Ismail Sulaiman, 56, pula berkata, keadaan kesesakan itu juga menyebabkan kemalangan kerap berlaku di simpang tiga tersebut.
Malah, katanya, jalan tersebut juga berbahaya kerana gelap pada waktu malam.
“Pihak berkuasa perlu memasang segera lampu isyarat di simpang tiga itu untuk mengelakkan berlaku kemalangan yang lebih buruk.
“Terdapat juga pengguna yang mencadangkan supaya simpang tiga itu ditutup bagi menjamin keselamatan,” ujarnya.
Seorang lagi penduduk, Azahari Mahamad, 45, berkata, semua pengguna yang melalui simpang tiga itu juga perlu saling bersikap tolaransi dengan memperlahankan kenderaan mereka bagi memberi peluang kepada pengguna lain untuk keluar simpang atau membuat pusingan U.
“Sikap pengguna yang mementing diri sendiri menyebabkan keadaan jalan di simpang tiga itu menjadi sesak dan memerbahaya,” katanya. –UTUSAN ONLINE