Pemegang kad OKU tidak boleh berterusan jual tisu - Utusan Malaysia

Pemegang kad OKU tidak boleh berterusan jual tisu

NICOLE Tan Lee Koon menyerahkan bantuan kepada Lai Sin Hian ketika mengadakan lawatan kebajikan di Taman Bukit Tembok, Seremban hari ini.-UTUSAN/ZAKKINA WATI AHMAD TARMIZI.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Golongan orang kurang upaya (OKU) yang memegang kad OKU tidak boleh berterusan mengambil jalan mudah dengan menggunakan kad tersebut bagi meraih simpati dengan menjual tisu kepada orang ramai.

Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Hal Ehwal Wanita, Keluarga dan Kebajikan Negeri Sembilan, Nicole Tan Lee Koon berkata, kad OKU yang diberikan tersebut adalah untuk membolehkan mereka mendapat dan menikmati pelbagai manfaat yang disediakan oleh pihak Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan bukannya untuk menjual tisu ataupun meminta sedekah.

Sehubungan itu, beliau berharap orang ramai yang menemui mana-mana pemegang kad OKU yang menggunakan kad tersebut bagi menjual tisu boleh memaklumkan kepada pihak JKM dengan segera supaya individu yang terlibat tersebut dapat dibantu.

“Bagi saya, kad OKU ini bukan untuk meminta sedekah, kad ini diberikan kepada mereka yang mempunyai masalah seperti pembelajaran, pendengaran, autistik untuk memastikan mereka dapat menikmati pelbagai manfaat yang disediakan oleh pihak JKM.

“Jika ia disalah guna dan orang ramai pula terus memberi sumbangan atau sedekah kepada mereka (pemegang kad OKU) ia seperti memberi peluang kepada mereka untuk jadikan ia sebagai satu jalan mudah dan mereka sudah tidak mahu lagi bekerja,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas mengadakan lawatan kebajikan terhadap seorang warga emas, Lai Sin Hian, 81, yang terlantar akibat mengalami strok di Taman Bukit Tembok di sini hari ini.

Tambah Lee Koon lagi, sebelum ini, terdapat kes di mana seorang pemegang kad OKU mampu meraih sebanyak RM300 sehari dengan hanya menjual tisu. 

“Saya tahu ramai masyarakat yang mahu membantu dan bersimpati, namun, mereka ini kebanyakannya masih lagi mampu bekerja dan tidak boleh berterusan menjual tisu. Sekiranya mereka menjual kek, itu tidak mengapa kerana mereka masih berusaha untuk berniaga.

“Oleh itu, orang ramai yang menemui mana-mana pemegang kad OKU yang menjual tisu di mana-mana boleh laporkan kepada kami untuk tindakan. Kami akan cuba membantu mereka untuk mendapatkan kerja,” katanya.

Sementara itu, menurut beliau, sehingga 30 November tahun lalu, seramai 27,892 OKU mengikut kategori yang berbeza telah mendaftar dengan pihak JKM di Negeri Sembilan. –UTUSAN ONLINE

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN