LANGKAWI : Pasukan pelayaran Polis Diraja Malaysia (PDRM) mencipta sejarah tersendiri apabila julung kalinya melalui pasukan pelayarannya menyertai Kejohanan LADA Langkawi International Regatta Perdana Kali Ke-18 2022 di Pusat Latihan Perahu Layar Kebangsaan (MSN), Langkawi, di sini.
Kejohanan yang berlangsung meriah anjuran Persatuan Pelayaran Kedah (KSA) dengan kerjasama Lembaga Pembangunan Langkawi (LADA), Majlis Sukan Negeri (MSN) Kedah dan Persatuan Pelayaran Malaysia (MSA) itu berlangsung dari 9 Februari serta berakhir semalam.
Pasukan pelayaran polis di bawah naungan Pasukan Sukan Air PDRM itu menghantar tiga wakil melalui dua kategori iaitu bagi acara perseorangan (Laser) dan berpasangan (International 470).
Bagi kategori perseorangan, pasukan pelayaran PDRM mempertaruhkan Inspektor Mohd. Romzi Muhamad yang juga merupakan bekas atlet kebangsaan sukan tersebut.
Manakala bagi acara berpasangan, PDRM menghantar Lans Koperal Mohammed Hanafi Nazaruddin dan Lans Koperal/S Mohammad Izzad Samdin.
Istimewanya, Mohd Romzi mendapat tempat ke-3 keseluruhan bagi kategori yang ditandinginya iaitu Laser.
Pengurus pasukan pelayaran PDRM, Asistan Superintenden, Dzulkanaen Hardy Abdul Rahman berkata, meskipun pertama kali menyertai kejohanan tersebut, namun, pasukan pelayaran mereka menunjukkan prestasi yang cemerlang dengan mampu memberi saingan sengit kepada pihak lawan.
“Kejohanan kali ini akan menjadi penanda aras terhadap prestasi pasukan pelayaran PDRM dan sebagai pemangkin semangat serta persediaan dalam menghadapi kejohanan-kejohanan mendatang.
“Kita juga berterima kasih kepada MSA yang telah membantu dalam urusan penyediaan kelengkapan peralatan kepada pasukan PDRM,” katanya di sini hari ini.
Sebanyak 16 pasukan telah menyertai kejohanan tersebut. –UTUSAN ONLINE