PADANG BESAR : Selepas hampir dua tahun perniagaan terkesan berikutan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), para peniaga di arked niaga Padang Besar di sini kembali bernafas untuk menerima kunjungan pelancong dari dalam dan luar negeri ini.
Justeru, mereka berharap agar sektor pelancongan kekal dibuka membabitkan pergerakan dalam negara sahaja serta menangguhkan terlebih dahulu cadangan membuka pintu sempadan negara memandangkan kes Covid-19 terus menunjukkan peningkatan sejak kebelakangan ini.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, seorang peniaga kedai baju, Yusof Nazori, 25, berkata, kerajaan harus menangguhkan terlebih dahulu cadangan membuka sempadan sehinggalah kes kembali berkurangan.
Katanya, kehadiran pengunjung dari dalam negara ketika ini sebenarnya sudah cukup membantu perniagaan mereka.
“Kalau soal berniaga ini, tidak perlu risau kerana pelanggan yang ada di sini pun adalah warga tempatan. Kalau daripada segi kedai pula, yang mana dahulunya milik warga Thailand, boleh disewakan kepada rakyat tempatan kerana jika tidak mereka (peniaga Thailand) akan rugi perlu bayar sewa tanpa berniaga,” katanya.
Pekerja kedai aksesori wanita, Nor Alissa Dalila Dali, 24, pula berkata, kerajaan perlu memberi tumpuan mengawal peningkatan kes Covid-19 terlebih dahulu sebelum mengambil keputusan membuka pintu sempadan.
“Ketika ini, jumlah kes telah melebihi 20,000 jadi kami bimbang akan berlaku peningkatan yang mendadak apabila orang bebas untuk keluar masuk tanpa kuarantin wajib ke negara ini.
“Kita juga tidak bergantung kepada pelancong Thailand di Padang Besar ini. Perniagaan pun sudah mula rancak dengan peniaga tempatan. Sudah banyak kedai yang sudah beroperasi dan pelancong pun ramai,” ujarnya.
Dalam pada itu, seorang pengunjung, Nurhidayah Ramzan, 24, berkata, suasana di Padang Besar kembali meriah selepas hampir dua tahun sunyi sepi sebelum ini.
Namun katanya, bagi mengelak penularan kes Covid-19 lebih serius adalah lebih baik pintu sempadan negara tidak dibuka lagi.
“Lagipun, adalah lebih baik kita beri sokongan kepada pelancongan dalam negara dan bantu peniaga dan penggiat industri tempatan,” katanya. –UTUSAN ONLINE