JERANTUT: Sektor ekopelancongan Taman Negara Kuala Tahan dan perkampungan Melayu pesisir Sungai Tembeling kembali ‘bernafas’ semula apabila dianggarkan lebih 4,000 orang pengunjung domestik bercuti sempena cuti Tahun Baharu Cina kali ini.
Sejak cuti sempena perayaan itu bermula Sabtu lalu, ramai pengunjung domestik menginap di kebanyakan pusat inap milik penduduk Kuala Tahan dan pengusaha swasta, Mutiara Taman Negara Resort (MTNR).
Pusat peranginan hutan tropika berusia lebih 130 tahun itu termasuk perkampungan Melayu pesisir Sungai Tembeling, Ulu Tembeling mula dikunjungi setelah negara memasuki tempoh Pelan Pemuihan Negara Fasa Empat pandemik Covid-19 dan berakhirnya musim tengkujuh bulan lalu.
Kerancakan semula sektor ekopelancongan di situ lebih lagi sempena cuti Tahun Baharu Cina memberikan kelegaan kepada pengusaha pusat inap, pemandu bot penambang, pemandu alam sekitar atau nature guide, pengusaha restoran terapung serta penggiat pelancongan lain beroleh pendapatan.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Pengurus pusat inap Tebing Guest House, Mohd. Abdul Rani Harun berkata, kerancakan sektor hospitaliti di Kuala Tahan bermula seminggu awal cuti perayaan Tahun Baharu Cina apabila ramai pengunjung sudahpun membuat tempahan bilik penginapan.
“Sebanyak 60 tempahan telah dibuat awal seminggu cuti perayaan Tahun Baharu Cina dan mulai 1 Februari sudah mencapai 100 peratus, iaitu semua bilik Tebing Guest House habis ditempah untuk penginapan sehingga 5 Februari ini,” katanya di Kuala Tahan hari ini.
Mohd. Abdul Rani yang juga Timbalan Pengerusi Pengusaha Pelancongan Taman Negara selanjutnya menjelaskan senario kemasukan ramai pengunjung domestik berikutan cuaca baik selepas musim tengkujuh penghujung Disember 2021 dan awal Januari lalu.
Pekerja hospitaliti MTNR, Sabri Abdullah berkata, unjuran kedatangan pengunjung domestik termasuk pelawat ekspatriat sebanyak 60 peratus, iaitu kira-kira 160 orang sehari menginap di chalet MTNR dan meningkat 100 peratus sempena cuti Tahun Baharu Cina sehingga hujung minggu ini.
Beliau berkata, kebanyakan pengunjung yang menginap di resort itu menyertai pakej penuh selama lima hari untuk menghabiskan percutian menyertai aktiviti rekreasi dan riadah di hutan tropika, menyusuri Sungai Tembeling dan Sungai Tahan, Lata Berkoh dan perkampungan Orang Asli etnik Bateq di sini.
“Kita tidak nafikan kebanyakan pengunjung amat ‘gian’ untuk melawat ke Taman Negara berikutan kebenaran dalam tempoh Pelan Pemulihan Negara Fasa Empat lagipun berlalunya musim tengkujuh memberikan kesempatan mereka bercuti ke sini di tambah pula cuti Tahun Baharu Cina,” katanya.
Penggiat ekopelancongan Kampung Kuala Sat, Alias Hashim juga berpendapat yang sama, iaitu keadaan cuaca yang baik dan cuti Tahun Baharu Cina menyebabkan pengunjung domestik memfokuskan lawatan ke perkampungan Melayu pesisir Sungai Tembeling di Ulu Tembeling.
“Bermula Sabtu lalu, ramai pengunjung datang secara berkeluarga menginap di sini untuk menikmati suasana kampung dan masakan tradisional Melayu berasaskan ikan liar Sungai Tembeling,” katanya yang sudah 25 tahun dalam sektor tersebut.
Beliau yang memiliki pusat inap Sat Lodge menambah, bukan sahaja kalangan pengunjung Melayu malah ada juga kaum Cina dan lain-lain melawat ke Kampung Kuala Sat kerana tertarik dengan keindahan alam semula jadi dan makanan tempatan di situ.
Rakannya, Norhasiyati Taharin selaku pemilik Tahan Guest House berkata, ada juga pengunjung yang singgah di pusat inapnya tetapi masih ‘suram’ kerana baharu sahaja beroperasi semula selepas ditutup sekian lama berikutan ancaman pandemik Covid-19.
“Ada juga pengunjung yang singgah, tetapi tidaklah seramai berbanding sebelum ini (sebelum pandemik Covid-19) bukan sahaja pelawat tempatan malah pelancong Barat memilih menginap di sini,” katanya.
Jelasnya, dia yakin perniagaan pusat inapnya akan bangkit semula tahun ini malah berharap kerajaan mempercepatkan kebenaran rentas sempadan antarabangsa bagi membolehkan pelawat seluruh dunia berkunjung ke Taman Negara. -UTUSAN ONLINE