Laut surut di Pulau Giam tarikan Pulau Pangkor - Utusan Malaysia

Laut surut di Pulau Giam tarikan Pulau Pangkor

PENGUNJUNG berjalan kaki dari Pantai Teluk Nipah ke Pulau Giam sejauh kira-kira 400 meter ketika fenomena air laut surut di Pulau Pangkor semalam. - UTUSAN/ZULFACHRI ZULKIFLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LUMUT: Ratusan pengunjung mengambil kesempatan daripada kejadian air laut surut yang berlaku cuma beberapa hari dalam setahun di Pulau Pangkor dengan berjalan kaki dari Pantai Teluk Nipah ke Pulau Giam, sejauh kira-kira 400 meter semalam.

Orang ramai mulai menyeberangi lautan kira-kira pukul 9.30 pagi ketika air mulai surut dan memperlihatkan beting pasir selebar kira-kira satu meter seolah-olah seperti jambatan yang menghubungkan kawasan pantai menuju ke pulau tersebut.

Keadaan air surut itu bagaimanapun hanya berlaku selama kira-kira dua jam dengan paras terendah dicatatkan ialah 0.3 meter atau paras buku lali lelaki dewasa, sebelum air kembali pasang menjelang tengah hari.

Hampir 500 orang mengambil kesempatan mengharungi air laut berjalan kaki ke pulau tersebut dalam tempoh berkenaan.

Seorang pengunjung, Ahmad Hafizuddin Abdullah, 25, bersama lima rakannya datang dari Pulau Pinang ke Pulau Pangkor semata-mata untuk merasai pengalaman berjalan kaki dalam air laut itu.

Beliau merasa teruja bukan sahaja dapat berjalan kaki ke Pulau Giam, tetapi juga melihat hidupan laut seperti timun laut atau gamat yang ditemui sepanjang beting pasir tersebut.

“Kami mula menyeberangi pada pukul 10.30 pagi dan mengambil masa antara 10 hingga 15 minit untuk berjalan kaki sebelum tiba ke Pulau Giam dan berjalan secara berhati-hati bimbang kaki terluka terpijak kulit siput atau karang laut,” katanya ketika ditemui pemberita di Pulau Pangkor semalam.

Beliau bersama tiga rakan perempuan bagaimanapun tidak dapat menyeberangi semula ke Pantai Teluk Nipah apabila air mulai pasang menjelang tengah hari.

Ahmad Hafizuddin memberitahu mereka cuba juga untuk kembali ke pantai dengan berjalan kaki tetapi dihalang oleh pasukan keselamatan sebelum dibawa menaiki bot kembali ke Pantai Teluk Nipah.

“Mungkin kami lepak lama sangat termasuk mengambil gambar di Pulau Giam sehingga tidak sedar air sudah mulai pasang balik, ini menjadi satu pengajaran dan pengalaman kepada kami untuk sentiasa beringat.

“Kami pun berasa selamat kerana ada kehadiran pasukan keselamatan yang sentiasa mengawasi pengunjung yang berjalan kaki ke pulau itu,” jelasnya.

Rakan beliau, Nadia Asi, 24, pula menyatakan, dia mengetahui kejadian unik itu dalam media sosial lantas mengajak rakan-rakannya ke Pulau Pangkor untuk merasai sendiri pengalaman tersebut.

Menurut beliau, jarak antara Pulau Pinang dan Pulau Pangkor yang tidak begitu jauh juga menjadi faktor mereka mengambil keputusan datang dan berada di pulau tersebut sehari semalam.

“Rasa teruja sangat dapat merasai pengalaman ini, tetapi, tidak sangka pula boleh tersangkut di Pulau Giam kerana sebelum ini saya dapat maklumat boleh berjalan kaki balik sebelum pukul 1 tengah hari, tidak sangka pula pukul 12 tengah hari air sudah pasang.

“Pada mulanya, fikir boleh juga balik sebab kami semua boleh berenang tetapi pasukan keselamatan tetap tidak membenarkan kami bergerak balik sebelum dibawa menaiki bot,” ujar beliau.

Seorang remaja, Dani Hamdan, 13, turut tidak melepaskan peluang berjalan kaki atas beting pasir itu walaupun menetap di Kampung Teluk Kechil, Pulau Pangkor.

“Ini kali ketiga saya berjalan kaki ke Pulau Giam dan melakukannya secara santai mengambil masa kira-kira 30 minit berbuat demikian dengan air laut mencecah buku lali saya sahaja,” katanya.

Daripada pemerhatian Dani, kawalan keselamatan tahun ini agak ketat dengan ramai anggota keselamatan seperti pasukan bomba, Angkatan Pertahanan Awam (APM), Rela dan anggota polis berkawal di sepanjang pantai serta di laut. – UTUSAN ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya