Kerjaya penggali kubur bakal pupus? - Utusan Malaysia

Kerjaya penggali kubur bakal pupus?

YUSOFF Abdul Rahman (belakang) bersama Azharuddine Mat Soh menggali kubur di Tanah Perkuburan Islam Kampung Semut Api, Kota Bharu. - UTUSAN/FOTO ROSLIZA MOHAMED
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA BHARU: Kerjaya penggali kubur mungkin pupus tidak lama lagi, gara-gara kekurangan pelapis apabila tidak ramai golongan belia berminat untuk sekurang-kurangnya menjadi penggali kubur sambilan.

Di negeri ini, kerja-kerja menggali kubur masih dilakukan secara tradisional menggunakan cangkul oleh penggali kubur yang berumur lingkungan 40 tahun ke atas dengan majoriti mereka adalah warga emas yang sudah lanjut usia.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, penggali kubur warga emas, Yussof Abdul Rahman, 65, berkata, di tempat tinggalnya iaitu Kampung Semut Api di sini, amat sukar untuk mencari penggali kubur ‘junior’.

Lelaki lebih dikenali sebagai Pok Soh itu berkata, jika penggali kubur veteran sepertinya ‘bersara’, penduduk setempat mungkin berdepan masalah untuk mengebumikan jenazah pada masa depan.

“Ketika ini hampir tidak ada langsung orang muda mahu jadi penggali kubur. Kalau ada, saya sudi turunkan ilmu dan kongsi pengalaman yang saya ada. Sebenarnya kerja menggali kubur bukan mudah.

“Ia perlukan kesabaran kerana mengambil masa lebih kurang tiga jam selain ada kaedah tersendiri. Sebagai contoh, kubur jenazah lelaki berbeza sedikit dengan jenazah wanita,” katanya ketika ditemui baru-baru ini.

Menurut Pok Soh, upah diterimanya bagi setiap lubang kubur ketika ini adalah RM200 dan dia mula menjadikan pekerjaan itu sebagai sumber rezeki selepas tidak lagi menjadi tukang rumah atas faktor umur, kira-kira 10 tahun lalu.

Sementara itu, pembantu Pok Soh, Azharuddine Mat Soh, 43, berkata, orang muda tidak berminat menjadi penggali kubur kerana pendapatan diterima tidak lumayan, selain tidak menentu bergantung kepada situasi semasa.

Katanya, dia memutuskan untuk mengikut Pok Soh menggali kubur kerana kasihan melihat warga emas mengerah kudrat menggali kubur menggunakan cangkul seorang diri tanpa sebarang bantuan jengkaut.

“Tugas menggali kubur juga tidak kira masa siang atau malam, malah kami pernah menggali tiga atau empat kubur dalam masa sehari gara-gara tidak ada penggali kubur lain di kampung kami ketika itu,” katanya.-UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya