TEMERLOH: Hasrat kanak-kanak pengidap penyakit juvenile hyline fibromatosis, Mohd. Aqil Aqmar Nordin, 4, untuk menyaksikan kereta lumba kawalan jauh akhirnya kesampaian apabila ditemani bapanya menyaksikan pertunjukan permainan itu di Dataran Temerloh, bandar Temerloh hari ini.
Dia dibawa bapanya, Nordin Jasni, 39, dari rumah mereka di Felda Ulu Jempol, Maran berkereta sejauh 65 kilometer ke bandar Temerloh pukul 8 pagi hari ini.
Kanak-kanak orang kurang upaya (OKU) itu disahkan oleh doktor Hospital Sultan Haji Ahmad Shah (Hosas) di sini mengalami perubahan fizikal bahagian jari tangan, kaki membengkok ketika usia bayi dan tulang mengeras serta kejang pada usia enam bulan dan menderita ketumbuhan di bahagian mulut.
Kanak-kanak tersebut diberikan peluang melihat dan menyentuh kereta kawalan jauh serta menyaksikan acara perlumbaan yang dikendalikan oleh Kelab RC Temerloh.
Pengerusi kelab itu, Khairul Mohd. Azuar Ibrahim berkata, dia memenuhi impian Mohd. Aqil Aqmar yang berminat dengan permainan kereta kawalan jauh itu setelah diberitahu oleh rakannya yang juga ahli kelab tersebut.
“Saya bersama 50 orang ahli kelab ini bersepakat untuk mengadakan pertunjukan hari ini supaya kanak-kanak ini dapat menonton secara lebih dekat.
“Kami amat terharu dan prihatin dengan keadaan penyakit Mohd. Aqil Aqmar dan sebab itulah ahli kelab tampil pada cuti minggu ini untuk membuat pertunjukan supaya dapat bersama menyantuni insan ini,” katanya di sini hari ini.
Menurut Khairul, sepanjang pertunjukan hampir tiga jam, Mohd. Aqil Aqmar sungguh teruja apabila mendengar bunyi kereta mainan itu seperti perlumbaan kereta lumba sebenar di Litar Antarabangsa Sepang, Selangor serta menzahirkan minat setelah berpeluang melihat, menyentuh dan cuba bermain kereta lumba kawalan jauh itu.
“Kami berpuas hati kerana dapat melayani kanak-kanak OKU ini dan hal ini merupakan tanggungjawab sosial kelab ini menyantuni serta menceriakan mereka yang memerlukan,” katanya.
Dalam pada itu, Nordin berkata, anaknya mula berminat dengan permainan kereta lumba kawalan jauh setelah melihat jirannya di Felda Ulu Jempol sering bermain peralatan itu di samping kerap menonton menerusi Youtube.
“Malah dia berkali-kali mengajak saya menyaksikan mana-mana pertunjukan kereta lumba kawalan jauh dan ingin bermain peralatan ini.
“Kebetulan saya mengenali ahli Kelab RC Temerloh dan memaklumkan hasrat anak saya lalu mereka bersetuju untuk membuat pertunjukan permainan ini pada hujung minggu,” katanya.
Katanya, Mohd. Aqil Aqmar sangat teruja apabila diberi peluang memegang dan diberi tunjuk ajar bermain kereta lumba itu walaupun agak sukar dan kekok.
“Minatnya tidak mahu berganjak dari tempat pertunjukan ini walaupun permainan hampir berakhir malah membisikkan kepada saya supaya membelikan sebuah kereta lumba kawalan jauh untuknya selepas ini,” ujarnya. –UTUSAN ONLINE