IPOH: Isu kekecewaan seorang wanita berkaitan bantuan untuk ibunya yang terlantar sakit seperti yang tular dalam media sosial baru-baru ini telah selesai.
Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga dan Kebajikan Masyarakat negeri, Datuk Dr. Wan Norashikin Wan Noordin berkata, permohonan bantuan kebajikan wanita itu untuk ibunya yang berusia 73 tahun sedang diproses.
Katanya, semakan pihaknya mendapati keluarga itu layak menerima bantuan daripada agensi berkaitan meskipun tular mengenai bantuan yang pernah diterima mereka sebelum ini.
“Dalam keadaan ini, apabila kita dapat aduan tular, kena dengar penjelasan dua belah pihak. Sebab itu, saya bersama Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan Baitulmal telah turun (rumah pengadu) untuk dengar sendiri.
“Mungkin dalam video itu dia tidak cerita sepenuhnya (bantuan yang telah diterima), tapi apa yang pasti mereka memang layak. Apa yang diterima (semasa tinggal di Kuala Lumpur) sudah selesai dan kini di Perak kita sedang proses bantuan,” katanya dalam sidang akhbar selepas majlis perasmian Dana Perubatan Sinar untuk pembedahan katarak di Pejabat Setiausaha Kerajaan (SUK) negeri Perak di sini hari ini.
Wan Norashikin berkata demikian bagi mengulas video tular terbaharu yang menyatakan Diwiyana Mohammed, 37, telah menerima pelbagai jenis bantuan melebihi RM15,000 semasa tinggal di Cheras, Kuala Lumpur dengan permohonan baharunya di Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (MAIPk) hanya dibuat pada awal Februari lalu.
Mengulas lanjut beliau berkata, apa yang berlaku berhubung kisah wanita itu perlu dijadikan pengajaran untuk semua pihak sebelum menyebarkan sesuatu berita tanpa dipastikan kesahihannya.
“Dalam isu mana-mana pun, kita yang terima maklumat dalam bentuk Whatsapp, Twitter, Facebook dan TikTok, perlu pastikan sahih, barulah mengambil tindakan seterusnya sama ada mahu sebarkan mahupun komen.
“Jadikan ini sebagai pengajaran bukan sahaja yang membuat kandungan tetapi kita sebagai pembaca perlu bertanggungjawab sebelum menyebarkan. Sebaiknya dengar penjelasan kedua-dua pihak,” katanya.
Baru-baru ini, tular rakaman video di aplikasi TikTok seorang wanita meluah rasa kecewa kerana permohonan untuk mendapatkan bantuan untuk ibunya yang terlantar akibat angin ahmar, tidak berjaya.
Wanita itu mendakwa telah membuat permohonan untuk mendapatkan bantuan melalui dua agensi sebanyak dua kali namun tidak berjaya. –UTUSAN ONLINE