SHAH ALAM: Kerajaan hanya perlu melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di kawasan yang mempunyai jangkitan Covid-19 tinggi, bukannya melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) seperti pada tahun lalu.
Presiden Persatuan Farmasi Malaysia (MPS), Amrahi Buang berkata, ini bagi memastikan sektor ekonomi negara serta rakyat Malaysia mempunyai kelangsungan, setelah sektor tersebut ditutup sepenuhnya dua tahun lalu bagi tempoh beberapa bulan.
“Kalau kita lihat beberapa negara juga mempunyai kes Covid-19 yang tinggi ketika ini disebabkan varian Omicron, namun, tidak melakukan sekatan ekonomi secara domestik.
“Hanya PKPD sahaja yang perlu dilaksanakan di kawasan yang mempunyai kes tinggi supaya ia tidak merebak kepada penduduk di kawasan lain,” katanya ketika dihubungi, hari ini.
Kes harian Covid-19 di negara ini terus mencatatkan trend peningkatan dan sehingga semalam, sejumlah 21,072 kes baharu yang dicatatkan, menurut Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah.
Dalam tempoh sama, Selangor mencatatkan jumlah kes harian sebanyak 5,350 kes baharu dengan nilai kebolehjangkitan iaitu 1.37.
Menurut Amrahi, varian Omicron sudah diketahui umum sebagai varian yang mudah menjangkiti manusia, namun, tidak berbahaya seperti varian Delta.
“Mengikut trend di peringkat global, jangkitan varian Omicron akan cepat menurun untuk tempoh beberapa bulan akan datang.
“Jadi saya harap rakyat memahami kepentingan mengambil dos penggalak serta pemberian vaksin kepada kanak-kanak sebagai satu cara melindungi diri daripada dijangkiti Covid-19,” tegasnya. -UTUSAN ONLINE