BALING: Sebuah galeri tentang Rundingan Baling 1955 akan diwujudkan di Sekolah Kebangsaan (SK) Tunku Putera di sini bagi memperingati peristiwa bersejarah itu.
Menteri Besar, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor berkata, galeri tersebut bakal dibuka di dalam bilik darjah di sekolah tersebut yang menjadi lokasi sebenar rundingan berkenaan.
Menurutnya, kerajaan negeri melalui Pegawai Daerah Baling sudah memulakan perbincangan bersama Jabatan Warisan Negara untuk menjadikan salah sebuah bilik darjah di sekolah tersebut sebagai sebuah galeri.
Katanya, pada masa ini, terdapat sebuah galeri yang dikenali Galeri Putera di sekolah itu yang merupakan inisiatif orang ramai dan pihak pengurusan sekolah.
“Galeri baharu yang bakal dibuka nanti akan menjadi lokasi kepada masyarakat serta pengkaji sejarah yang ingin mendapatkan maklumat yang lebih lengkap mengenai sejarah Rundingan Baling 1955,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas Majlis Pelancaran Buku ‘Liku-Liku Pertemuan Baling’ di Dewan Kenangan Tun Abdul Razak di sini semalam.
Buku ‘Liku-Liku Pertemuan Baling’ itu ditulis oleh pesara Tentera Udara Diraja Malaysia , Mejar Bersara, Dr. Nor Ibrahim Sulaiman.
Rundingan Baling pada 28 dan 29 Disember 1955 menyaksikan pertemuan antara Ketua Menteri Persekutuan Tanah Melayu, Tunku Abdul Rahman Putra dan pemimpin komunis, Chin Peng, bagi membincangkan tawaran pengampunan kepada pengganas komunis.
Galeri Putera yang dibuka di SK Tunku Putera sebelum ini merupakan bangunan yang digunakan oleh Chin Peng yang hadir pada rundingan itu untuk berehat.
Sanusi menambah, beliau juga berharap agar usaha yang dilakukan ini akan menjadi kenyataan dan akan kekal menjadi sejarah terpenting di negara ini.
“Selain Galeri Putera, di daerah Baling juga mempunyai satu lagi kawasan yang dikenali sebagai Terowong Komunis yang menghubungkan negara ini dengan negara Thailand,” ujarnya. –UTUSAN ONLINE