KOTA BHARU: Selepas kira-kira setahun tidak beroperasi akibat penularan pandemik Covid-19, bas henti-henti di negeri ini kembali meneruskan khidmat kepada penduduk sejak 1 Februari lalu.
Perkhidmatan yang asalnya dikendalikan Syarikat Cityliner telah diambil alih oleh Konsortium E-Mutiara Berhad (E-Mutiara) dan dijenama semula sebagai Mutiara Rentas Desa.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Pengerusi E-Mutiara, Che Ibrahim Che Ismail berkata, perkhidmatan itu akan diperkenalkan secara berperingkat dengan fasa pertama membabitkan tiga laluan utama dengan 18 perjalanan setiap hari.
Laluan tersebut ialah Laluan 6 iaitu Kota Bharu-Salor-Pasir Mas, Laluan 57 (Kota Bharu-Gua Musang dan Laluan 639 (Kota Bharu-Kampung Raja-Besut). Semuanya beroperasi setiap hari bermula pukul 4.45 pagi hingga 6 petang.
“E-Mutiara mengambil tanggungjawab untuk menyediakan semula perkhidmatan itu setelah mendengar keluhan orang ramai mengenai kesukaran untuk berulang-alik ke Kota Bharu selepas pengendali terdahulu memberhentikan operasi.
“Kadar tambang berpatutan kerana ini tanggungjawab sosial syarikat bagi memenuhi keperluan pengangkutan darat rakyat Kelantan,” katanya ketika dihubungi di sini baru-baru ini.
Kata Che Ibrahim, stesen bas di Jalan Hilir Pasar, di sini dijadikan pangkalan utama dan sebanyak lima buah bas ekspres milik E-Mutiara telah diubah suai sebelum dilesenkan semula sebagai bas berhenti-henti.
Tinjauan Utusan Malaysia di stesen bas di Jalan Hilir Pasar hari ini bagaimanapun mendapati ia kurang mendapat sambutan dengan rata-rata orang ramai mengakui masih tidak mengetahui kewujudannya.
Sementara itu, pengguna setia bas henti-henti pula mengakui mereka sudah boleh menarik nafas lega kerana bas tersebut yang tidak beroperasi sejak setahun lalu kembali mengambil penumpang.
Pekerja kedai makan, Maimun Abdul Rahman, 63, berkata, dia sudah berpuluh tahun menggunakan perkhidmatan bas henti-henti untuk berulang-alik dari rumah di Pengkalan Chepa ke tempat kerja di pusat bandar.
“Apabila bas tidak lagi beroperasi sejak setahun lalu, saya terpaksa menaiki kereta sewa dengan bayaran RM10 untuk sekali perjalanan. Bayangkan berapa kos yang perlu saya tanggung dalam sebulan,” katanya.
Seorang lagi pengguna setia, Nisah Salleh, 57, berkata, bas henti-henti sering menjadi pilihan setiap kali dia mahu pergi ke saudara-mara yang tinggal di Pasir Mas atau di Tok Bali, Pasir Puteh. –UTUSAN ONLINE