PUTRAJAYA: Adakah ibu bapa akan terseksa atau diazab Allah S.W.T dengan sebab anak meninggalkan solat?
Ini penjelasan diberikan Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan menerusi artikel Irshad Fatwa Siri Ke-666 yang dikeluarkan, hari ini.
PMWP berkata, secara umumnya, seorang muslim tidak menanggung dosa saudaranya yang lain, begitu juga ibu bapa tidak menanggung dosa anak-anaknya.
Bagaimanapun, katanya, ibu bapa bertanggungjawab memberi pendidikan agama untuk menyelamatkan anak-anak mereka dari azab api neraka.
“Sebaik tanggungjawab ini terlaksana, maka segala perbuatan anak yang meninggalkan solat adalah ditanggung oleh diri mereka sendiri.
“Adapun bagi ibu bapa yang gagal memberi didikan agama kepada anak-anak, maka sebarang perbuatan maksiat yang dilakukan oleh anak tersebut akan turut ditanggung oleh kedua ibu bapa,” katanya.
Katanya, Rasulullah memerintahkan kepada ibu bapa agar mendidik anak-anak mereka mendirikan solat ketika usia mereka tujuh tahun.
Malah, katanya, ibu bapa boleh memukul anak berkenaan dengan pukulan yang tidak mencederakan dengan niat mendidik ketika usia sepuluh tahun.
Menurut PMWP lagi, anak-anak adalah amanah yang dianugerahkan Allah SWT justeru, ibu bapa wajib melaksanakan amanah ini dengan mendidik mereka menjadi insan yang beriman dan bertakwa.
“Oleh itu, hubungan antara ayah dan anak adalah hubungan yang mempunyai tanggungjawab yang mesti dilaksanakan.
“Pengabaian kepada tanggungjawab ini akan dipersoalkan di sisi Allah di akhirat kelak,” katanya. –UTUSAN ONLINE