KUANTAN: Mangsa banjir di negeri ini bersyukur ke hadrat Allah SWT serta berterima kasih kepada kerajaan Pusat dan negeri kerana begitu prihatin dan cakna dengan kesusahan mangsa banjir apabila segera menyalurkan bantuan wang ihsan (BWI) kepada mereka.
Ibarat kata ‘orang berbudi, kita berbahasa, orang memberi kita merasa. ‘ Begitulah konotasi penghargaan penduduk yang terkesan di beberapa daerah yang memuji tindakan pantas kerajaan termasuk pengurusan pejabat daerah cukup komited melaksanakan tugas bantuan tersebut bagi meringankan beban mangsa banjir dalam tempoh pemulihan selepas bencana itu.
Mangsa banjir Felda Kota Gelanggi Dua, Mohd. Nazrun Ab. Rahman, 40, berkata, gelombang pertama banjir bermula 18 Disember lalu selama seminggu menyebabkan dia antara mangsa yang kehilangan pendapatan akibat berpindah ke pusat pemindahan sementara (PPS) di sebuah sekolah di Felda tersebut.
“Saya berterima kasih kepada kerajaan Pusat dan negeri kerana menghulurkan bantuan berjumlah RM1,500, dapatlah menarik nafas lega berbelanja keperluan dapur walaupun masih lagi kesempitan untuk berbelanja keperluan lain.
“Keprihatinan kerajaan cukup bermakna bagi kami memulihkan kehidupan selepas mangsa banjir khususnya dalam kalangan keluarga yang susah untuk mencongak pendapatan semula,” katanya di Felda Kota Gelanggi Dua di sini semalam.
Mangsa banjir Kampung Pamah Rawas, Raub, Nor Amin Nur Azahar, 31, berkata, dia dapat menggunakan BWI disalurkan untuk perbelanjaan keperluan dapur dan kerja pembersihan serta membaikpulih kedai runcitnya yang tenggelami banjir air Sungai Dong pada 18 Disember lalu.
“Saya bersyukur ke hadrat Allah SWT memperoleh bantuan ihsan ini. Ia membuktikan kerajaan begitu prihatin dengan kesusahan mangsa banjir di kawasan luar bandar khususnya saya yang sudah dua kali mengalami bencana yang sama pada 2021,” katanya.
Nor Amin menambah, dia terkejut pada mulanya dan gembira kerana proses memperoleh BWI begitu cepat setelah kembali ke rumah daripada PPS kampung tersebut selepas banjir surut.
Warga emas Kampung Pamah Kulat, Raub, Maliah Madun, 86, pula berkata, BWI yang cukup mudah diperolehi dan pantas penyalurannya daripada pihak kerajaan menggembirakan warga emas di situ untuk menjana perbelanjaan keperluan tertentu selepas banjir.
“Bagi mak cik, wang RM1,500 ini dapat digunakan untuk membeli ubat dan keperluan dapur serta selebihnya disimpan untuk waktu kecemasan. Mak cik bersyukur kerana kerajaan segera membantu penduduk warga emas di sini.
“Setahu mak cik tidak ada sesiapa pun mengambil maklumat diri (mak cik), tetapi tiba-tiba ketua kampung beritahu supaya hadir mengambil wang bantuan daripada wakil rakyat yang hadir ke kampung ini.
“Terima kasih Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail memahami kesusahan yang menimpa mangsa banjir,” ujarnya. -UTUSAN ONLINE