PETALING JAYA: Setelah kisah nenek Rohana Mahfuz, 76, mangsa banjir yang hilang tempat berteduh akibat banjir bulan lalu dan gambarnya dipapar di muka depan akhbar ini hari ini, penceramah bebas, Ustaz Ebit Lew hari ini pantas membuat keputusan dengan membantu membina kediaman untuknya.
Malah, perasaan syukur dicurahkan Ebit selepas berjaya menyalurkan bantuan kepada Rohana yang kini tinggal sehelai sepinggang.
![](https://www.utusan.com.my/wp-content/uploads/272690438_5084348041595400_6437937833366145274_n-600x420.jpg)
“Rumahnya hanyut akibat banjir di Hulu Langat dan cuma tinggal tangga sahaja. Menangis dari mula jumpa tadi. Dah sebulan nenek tak tahu macam mana nak bina rumah. Dari mula hanya meluah rasa dan ujian hidupnya. Satu jer saya minta dengan ustaz doakan nenek disayangi Allah dan masuk syurga.
“Kami terus tengok plan rumah dan telefon kontraktor. InsyaAllah akan bina rumah baharu untuk nenek. Nenek tiada suami dan anak-anak. Syukur adik beradik dan jiran tetangga ramai membantu. Serta masyarakat ramai membantu,” katanya dalam kenyataan di Facebook hari ini.
Kisah menimpa Rohana yang menetap di Kampung Sungai Lui kemudian tular dalam media sosial dan mendapat perhatian warganet.
Dalam pada itu, Ebit turut memohon doa orang ramai agar segala perancangan untuk membina rumahnya berjalan lancar.
“Doakan yer rumah nenek dapat kami siapkan mengikut plan asal. Alhamdulillah. Segala puji bagi Allah,” jelasnya. -UTUSAN ONLINE