Peniaga kecil terjejas minyak peket tiada - Utusan Malaysia

Peniaga kecil terjejas minyak peket tiada

NOZLANSHAH Tumino (kiri) dan Nurul Azmera Baharum (kanan) berharap masalah minyak masak paket dapat diselesaikan segera. - UTUSAN/NORHAFIZAN ZULKIFLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JERANTUT: Ketiadaan minyak masak peket menjejaskan golongan peniaga makanan terutama peniaga kecil-kecilan. 

Bercakap kepada Utusan Malaysia, peniaga ayam gunting, Nurul Azmera Baharum, 27, berkata, sejak empat hari lalu, dia terpaksa mengeluarkan modal lebih untuk membeli minyak masak botol.  

Katanya, minyak masak botol berharga dua kali ganda lebih mahal berbanding minyak peket bersubsidi dan sebagai peniaga ayam gunting, dia memerlukan kira-kira 15 kilogram minyak sehari. 

“Sejak kebelangan ni sukar hendak mendapatkan bekalan minyak masak peket terutama menjelangnya sambutan Tahun Baharu Cina. 

“Sebagai peniaga, kami berharap dapat mengurangkan kos dengan membeli minyak masak peket, namun sekarang terpaksa beli minyak botol kerana tiada minyak peket,” katanya di sini semalam. 

Suaminya, Nozlanshah Tumino, 29, pula berkata, masalah bekalan minyak masak peket sudah lama berlarutan dan ia menjadi sangat kritikal setiap kali tiba musim perayaan. 

“Kami sudah lebih enam tahun berniaga dan masalah minyak masak peket ini seperti tiada penyelesaian sedangkan negara kita pengeluar minyak masak. 

“Ada yang kata minyak masak peket hanya untuk isi rumah sahaja, tapi pada peniaga kecil seperti kami, kami sangat memerlukan minyak masak peket untuk mengurangkan kos perniagaan memandangkan harga barang lain juga sudah naik,” katanya. 

Nozlanshah mencadangkan pihak berwajib mengeluarkan kad khas kepada golongan peniaga kecil untuk mendapatkan minyak masak peket atau membeli pada harga subsidi. 

“Pihak berwajib kena mengambil berat isu ini terutamanya buat peniaga kecil seperti kami. Kalau sudah beli minyak pada harga mahal, dengan harga barangan lain juga semakin meningkat, bagaimana kami hendak dapat untung?

“Sedangkan sekarang kami terpaksa beli minyak masak botol yang harganya dua kali ganda, kami terpaksa berdepan dengan keuntungan yang sedikit. Kalau hendak naik harga makanan, pelanggan pula akan merungut,” katanya. 

Seorang pengguna, Mohd. Hafiz Zulkifli, 30, pula berkata, pada ketika ini begitu sukar mendapatkan minyak masak peket di pasar raya dan di kedai runcit. 

Katanya, terdapat pemilik kedai runcit yang tidak mahu menjual minyak masak peket kepada pelanggan jika tidak membeli barangan lain di kedai mereka. 

“Saya ada dengar cerita ada kedai runcit yang memaksa pelanggan membeli barangan lain seperti gula atau tepung gandum sekiranya mahu membeli minyak masak peket,” katanya. -UTUSAN ONLINE

 

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya