MARAN: Peneroka Felda dan pekebun kecil kelapa sawit kini terkesan dengan kenaikan harga baja dan racun sehingga 60 peratus sejak Oktober tahun lalu.
Harga baja tahun lalu sekitar RM60 hingga RM70 satu beg, kini melonjak sehingga RM130 satu beg, kenaikan di luar kemampuan golongan peneroka Felda dan pekebun kecil.
Difahamkan, bagi empat ataupun lima hektar kawasan ladang sawit, tiga atau empat pusingan membaja perlu dilakukan setahun membabitkan lapan hingga 10 beg baja bagi setiap pusingan.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, seorang peneroka Felda Jengka 22, Abdul Hamid Shafie, 64, berkata, dia difahamkan harga baja untuk kelapa sawit akan meningkat lagi tahun ini.
“Walaupun harga komoditi kelapa sawit melebihi RM1,000 satu metrik tan tetapi ketika ini adalah musim melawas iaitu pusingan buah tanda tandan segar (BTS) tidak banyak berbuah.
“Sebagai contoh ada peneroka di tanah rancangan ini hanya mendapat 700 kilogram sahaja tidak sampai pun satu tan kerana BTS melawas. Ini tidak termasuk masalah tenaga buruh untuk menuai sawit,” katanya di sini semalam.
Ketua Peneroka Felda Kota Gelanggi 1, Abdul Rahman Ghani, 60, pula berkata, baja dan racun ada keperluan asas yang diperlukan oleh setiap peneroka Felda dan pekebun kecil di negara ini.
“Peneroka biasanya menggunakan baja merah ataupun dikenali MOP untuk buah dan baja campuran untuk daun dan akar.
“Bagi empat hektar atau lima hektar ladang sawit memerlukan tiga dan empat pusingan membaja setahun. Ini kerana kualiti dan juga kuantiti BTS adalah bergantung kepada baja,” katanya.
Ketua Kampung Felda Sepuluh, Jantan Mat Saman, 68, jika harga racun dan baja ‘seiring’ kenaikan harga sawit, ia bermakna warga peneroka dan pekebun kecil kurang mendapat manfaat daripada harga tinggi komoditi itu di pasaran.
Sehubungan itu, beliau mencadangkan kerajaan agar sentiasa membuat pemantauan bagi mengelak peniaga mengambil kesempatan terutamanya di kawasan Felda dan luar bandar.
“Kerajaan juga wajar memberikan subsidi kepada warga Felda dan pekebun kecil terutama pembelian racun dan baja.
“Harga sawit meningkat tapi kos perbelanjaan untuk pengurusan ladang juga meningkat bersama keperluan harian yang lain pun melambung tinggi,” katanya. -UTUSAN ONLINE