Nelayan laut dalam perlu 25,000 pekerja asing - Utusan Malaysia

Nelayan laut dalam perlu 25,000 pekerja asing

SYED Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal (tengah) menyampaikan cek kepada penerima dalam program penyampaian Buku Akaun Tabung Anak Bukit Gantang di Bukit Gantang hari ini. - UTUSAN/WAT KAMAL ABAS
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BUKIT GANTANG: Sebanyak 25,000 pekerja asing berpengalaman khususnya dari Thailand diperlukan bagi mengisi kekosongan pekerja kapal laut dalam di negara ini.

Pengerusi Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM), Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal berkata, ini bertujuan menstabilkan bekalan ikan semasa dan musim perayaan.

Beliau berkata, hasil tinjauan di Terengganu baru-baru ini, banyak pengusaha kapal laut dalam mengeluh kerana tidak dapat beroperasi berikutan ketiadaan pekerja khususnya dari Thailand.

Menurutnya, ini sekaligus memberi kesan kepada harga ikan dan bekalan ikan semasa.

“Di Semenanjung, terdapat sekitar 1,000 kapal laut dalam dan setiap kapal memerlukan sekurang-kurangnya 25 orang pekerja.

“LKIM telah membuat permohonan rasmi kepada Jabatan Imigresen untuk kemasukan pekerja asing bagi membolehkan kapal-kapal laut dalam ini beroperasi segera namun belum ada sebarang kata putus diterima.

“Saya berharap Jabatan Imigresen membuka ruang yang lebih mudah dan mengikut peraturan kepada kru kapal khususnya dari Thailand bagi menyelesaikan masalah ini,” katanya.

Beliau ditemui pemberita  selepas Majlis Penyampaian Buku Akaun Tabung Anak Bukit Gantang Dermasiswa Pelajar Matrikulasi, Kolej dan IPT di Dewan Terbuka Pusat Khidmat Ahli Parlimen Bukit Gantang di sini hari ini.

Menurut Syed Abu Hussin, biarpun kebenaran masuk ke negara ini telah dibenarkan melalui Lapangan Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), namun dengan kadar kos dan denda tertentu yang tinggi sehingga mencecah RM10,000 seorang,  ia membebankan pekerja asing.

Beliau berkata,  sekiranya Jabatan Imigresen dapat memudahkan urusan kemasukan pekerja asing, LKIM  yakin bekalan ikan akan lebih stabil.

Katanya, ini juga dapat mengawal harga ikan daripada terus melambung dan membebankan rakyat terutama pada musim perayaan.

“Diakui harga ikan semasa berlaku sedikit kenaikan berikutan kekurangan bekalan.

“Antara jenis ikan yang terkesan ialah selayang, kembung, cencaru, sardin dan sebagainya,” katanya.

Beliau menegaskan, LKIM akan terus membuat pantauan dan mencari alternatif lain bagi memastikan harga dan bekalan ikan mencukupi dan terkawal.

Katanya, menjelang Tahun Baru Cina,  20 peratus ikan diimport dari negara luar seperti Pakistan, Indonesia, Bangladesh, India dan sebagainya bagi menampung keperluan semasa.

“LKIM memberi jaminan ikan sejuk beku mencukupi dan pendaratan ikan bagi pemilik vesel yang tidak terbabit dengan perayaan Tahun Baru Cina juga diteruskan,”  katanya.

Sementara itu, dalam program tersebut seramai 243 orang  menerima sumbangan Tabung Anak Bukit Gantang berjumlah RM83,000 dan seramai 73 pelajar menerima sumbangan dermasiswa berjumlah RM35,000. – UTUSAN ONLINE

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN