MELAKA: Taktik pembelian berganda menggunakan ahli keluarga menjadi punca bekalan minyak masak paket bersubsidi di kebanyakan kedai runcit di Melaka ‘licin’ sebelum sempat ditambah semula peniaga.
Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) negeri, Norena Jaafar berkata, siasatan penguat kuasa di kedai runcit mendapati, kekurangan itu bukan berpunca di peringkat peruncit, sebaliknya pengguna sendiri.
Menurut beliau, hasil pemeriksaan terdapat pembeli yang melakukan pembelian berganda menggunakan ahli keluarga semata-mata untuk membuat stok di rumah masing-masing.
“Peruncit memang telah mengenakan had pembelian minyak masak paket satu kilogram sebanyak tiga unit per transaksi untuk setiap pelanggan.
“Kekurangan bekalan ini didapati berlaku kerana wujud pembelian berganda, contohnya terdapat enam ahli keluarga dan kesemua mereka beratur membeli tiga peket minyak masak setiap seorang untuk dijadikan stok di rumah,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar tinjauan harga barangan keperluan menjelang Tahun Baharu Cina di Pasar Awam Melaka di sini semalam.
Turut hadir Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Pengguna Melaka, Ngwe Hee Sem.
Tambahnya, tindakan memborong minyak masak paket itu dipercayai disebabkan rasa panik pengguna dengan khabar angin yang tular di media sosial mengenai kenaikan harga barang dijangka berlaku dalam tempoh terdekat.
Katanya, trend kekurangan bekalan minyak masak paket itu dikesan berlaku pada awal dan hujung bulan iaitu dalam tempoh pengilang serta peruncit melakukan penambahan semula stok.
“Kita kena faham pengilang ini mempunyai kuota penghasilan minyak masak paket yang dibenarkan.
“Misalnya, jumlah dihadkan hanyalah 70 tan metrik sebulan, apabila kuota itu telah dipenuhi mereka perlu menunggu bulan seterusnya dan proses menyiapkan bekalan pula mengambil masa kira-kira tiga hingga empat hari,” katanya.
Jelasnya, di peringkat peruncit, jumlah bekalan diambil peniaga adalah mengikut saiz stor di premis.
Sementara itu, Hee Sem berkata, hasil tinjauan dilakukan, pihaknya memberi jaminan bekalan keperluan asas menjelang Tahun Baharu Cina adalah mencukupi.
Katanya lagi, bermula 1 Januari lalu, sebanyak 3,600 premis telah diperiksa dan 50 kes direkodkan dengan 35 daripadanya membabitkan kenaikan harga barang di bawah Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan 2011. – UTUSAN ONLINE